Tempahan semikonduktor pacu prospek UWC, HLIB kekal saranan 'beli' | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tempahan semikonduktor pacu prospek UWC, HLIB kekal saranan 'beli'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 22 Jun - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap UWC Bhd. memandangkan prospeknya yang teguh dipacu pesanan semikonduktor. 

 

Bagaimanapun, firma itu mengurangkan harga sasaran UWC kepada RM4.21 daripada RM6.19 sesaham sebelum ini.

 

"Setelah mempertimbangkan pendirian Rizab Persekutuan AS dalam mengurangkan tekanan inflasi, kami mengurangkan penilaian harga kepada pendapatan (PE) kepada 34 kali (sebelum ini 50 kali) bagi pendapatan sesaham (EPS) tahun kewangan 2023 (FY23), setanding dengan pemain industri yang lain. 

 

"Ketegangan perdagangan yang berterusan akhirnya boleh memanfaatkan UWC yang menyediakan penyelesaian sehenti apabila lebih banyak syarikat mengalihkan pengeluaran keluar dari China untuk mengelakkan tarif import," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Untung bersih UWC bagi suku ketiga berakhir 30 April 2022 meningkat 24.62% tahun ke tahun kepada RM28.71 juta berikutan pesanan dan permintaan yang kukuh daripada industri semikonduktor.

 

Fokus kumpulan dalam menyampaikan produk bernilai lebih tinggi kepada pelanggannya menyaksikan pendapatannya bagi tempoh itu meningkat 21.66% tahun ke tahun kepada RM87.32 juta.

 

Bagi tempoh 9 bulan berakir 30 April 2022, untung bersih berkembang 6.73% kepada RM76.83 juta berbanding RM71.99 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya, manakala pendapatan meningkat 9.68% kepada RM242.49 juta daripada RM221.08 juta.

 

Keuntungan bersih teras bagi tempoh 9 bulan berjumlah RM73 juta adalah memenuhi jangkaan HLIB dan konsensus masing-masing pada 69% dan 70%, kerana firma itu mengunjurkan suku yang kukuh. 

 

Malah, menurutnya, nilai kontrak melonjak 12% bagi suku ke suku mencapai paras tertinggi RM190 juta setakat ini. 

 

"Kami juga dapati prospek kumpulan kekal cerah dengan penguji fungsi dijangka dilancarkan akhir 2022 manakala penhuji sistem simulasi baharu dijangka meningkat secara progresif pada suku ketiga ini.

 

"Pembangunan penguji 5G mmW dan V2V kekal dalam momentum dan dijangka menjalani pengeluaran besar-besaran menjelang Julai 2022. Pengeluaran penguji cip AV terus menyaksikan muatan yang baik," katanya.

 

Setakat 12.12 tengah hari ini, harga saham UWC menokok 4 sen atau 1.28% kepada RM3.17 dengan 1.17 juta saham diniagakan. - DagangNews.com