KUALA LUMPUR 29 Jun – Atlan Holdings Berhad mencatatkan keuntungan bersih RM14.8 juta bagi tahun kewangan berakhir 28 Februari 2026 (FY26), susut 71.3% daripada RM51.7 juta pada tahun sebelumnya.
Penurunan ketara kali ini disebabkan terutamanya oleh ketiadaan pampasan tidak berulang pengambilan tanah berjumlah RM69.6 juta yang pernah diterima kumpulan tersebut pada tahun kewangan sebelum itu.
Perolehan bagi FY26 juga merosot kira-kira 9.7% kepada sebanyak RM411.0 juta dipengaruhi sumbangan hasil yang lebih rendah daripada segmen pembuatan komponen automotif dan juga segmen bebas cukai.
"Operasi segmen bebas cukai terjejas akibat penutupan outlet di Johor Bahru, Johor kerana ketiadaan pembaharuan lesen perniagaan dan di Langkawi, Kedah disebabkan kerja pengubahsuaian," maklum Atlan.
Bagaimanapun, prestasi kumpulan itu sebahagiannya diperkukuhkan oleh keuntungan tidak berulang daripada pembatalan pengiktirafan pajakan susulan penutupan outlet di Johor Bahru tersebut.

Selain itu, bagi syarikat menyelaraskan struktur perniagaan, ia melupuskan kesemua 100% pegangan dalam United Industries Holdings Sdn Bhd (UIG) kepada anak syarikatnya, Duty Free International Limited.
Langkah penjualan penuh dengan nilai RM175 juta itu bertujuan meningkatkan tahap kecekapan operasi dan menyediakan modal kerja tambahan untuk Atlan mengembangkan segmen hartanah dan hospitaliti.
"Meskipun berdepan persekitaran ekonomi mencabar, ia mengisytiharkan dividen 10 sen sesaham, yang memberikan hasil dividen 3.7% berdasarkan harga penutupan saham pada akhir Februari 2026," katanya.
Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Adam Sani Abdullah menyatakan kumpulan kekal berhati-hati namun optimis terhadap prestasi kewangan akan datang melalui perancangan strategik dan pengoptimuman kos.
Atlan juga fokus kepada kemampanan perniagaan teras, dalam usaha mengekalkan kedudukan kewangan kukuh dengan baki tunai dan bank berjumlah RM273.1 juta setakat 28 Februari 2026. - DagangNews.com








