KUALA LUMPUR 29 Jun - Handal Energy Bhd sekali lagi menangguhkan penerbitan Laporan Tahunan 2025 dan penyata kewangan terauditnya, menjadikan ia penangguhan kali keempat sejak gagal memenuhi tarikh akhir yang ditetapkan Bursa Malaysia.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, penyedia perkhidmatan minyak dan gas itu berkata, laporan tahunan berserta penyata kewangan teraudit bagi tempoh kewangan berakhir 31 Disember 2025 kini dijangka diterbitkan selewat-lewatnya pada 17 Julai 2026.
Tarikh baharu itu adalah kira-kira tiga minggu selepas sasaran terdahulu pada 26 Jun, namun syarikat tidak menjelaskan sebab penangguhan terbaharu berkenaan.
Handal sebelum ini gagal mengemukakan laporan tahunan sebelum tarikh akhir mandatori pada 30 April lalu, menyebabkan dagangan sahamnya digantung oleh Bursa Malaysia mulai 11 Mei.
Selepas itu, syarikat beberapa kali menyemak semula sasaran penerbitan laporan berkenaan, daripada 22 Mei kepada 12 Jun, kemudian 26 Jun sebelum ditangguhkan sekali lagi ke 17 Julai.
Artikel berkaitan: Handal Energy menunda kali ketiga penerbitan Laporan Tahunan, kali ini ke 26 Jun 2026
Punca Kelewatan
Menurut syarikat, kelewatan sebelum ini berpunca daripada keperluan untuk memuktamadkan penyata kewangan teraudit susulan perubahan tahun kewangan daripada 30 Jun kepada 31 Disember.
Perubahan itu menjadikan tempoh pelaporan terkini meliputi 18 bulan, iaitu dari 1 Julai 2024 hingga 31 Disember 2025.
Handal berkata, selepas ini syarikat akan kembali menggunakan tahun kewangan biasa selama 12 bulan yang berakhir pada 31 Disember setiap tahun.
Di bawah Keperluan Penyenaraian Bursa Malaysia, syarikat tersenarai yang gagal mengemukakan penyata kewangan tertunggak dalam tempoh enam bulan selepas tamat tarikh akhir yang ditetapkan boleh dikenakan tindakan penyahsenaraian, selain tindakan penguatkuasaan lain oleh bursa.
Dari segi prestasi kewangan, Handal terus berdepan tekanan apabila mencatatkan kerugian bagi 12 suku berturut-turut.
Bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026, syarikat merekodkan kerugian bersih sebanyak RM403,000 berbanding hasil sebanyak RM5 juta, sekali gus mencerminkan cabaran berterusan dalam operasi kumpulan. - DagangNews.com








