Hasil UUE catat rekod tertinggi RM209 juta bagi FY26 dipacu segmen kejuruteraan utiliti bawah tanah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hasil UUE catat rekod tertinggi RM209 juta bagi FY26 dipacu segmen kejuruteraan utiliti bawah tanah

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 29 JunUUE Holdings Berhad mencatatkan rekod hasil tertinggi berjumlah RM209.0 juta bagi tahun kewangan berakhir 28 Februari 2026 (FY26), melonjak 22.9% berbanding tahun sebelumnya.

 

Ujar kumpulan itu, prestasi luar biasa ini didorong terutamanya segmen kejuruteraan utiliti bawah tanah yang menyumbang RM186.6 juta atau 89.3% daripada jumlah pendapatan keseluruhan syarikat.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, penyedia rumusan utiliti tersebut namun melaporkan keuntungan bersih RM9.47 juta bagi tempoh berkenaan, jatuh berbanding RM22.97 juta yang dicatatkan pada FY25.

 

"Penurunan amat besar ini disebabkan oleh faktor pengiktirafan perbelanjaan pada FY26 menerusi Skim Opsyen Saham Pekerja (ESOS) dilaksanakan secara sekali sahaja berjumlah RM12.5 juta," tambah UUE.

 

Kumpulan berkenaan menambah, sekiranya tidak diambil kira kos ESOS tersebut, keuntungan selepas cukai (PAT) terlaras syarikat itu sebenarnya sudah boleh berada pada paras selesa RM22.0 juta.

 

Selain prestasi kukuh dalam segmen kejuruteraan, faktor-faktor lain yang menyumbang pertumbuhan hasil termasuk peningkatan volum kerja dibuat sepanjang tahun di bawah segmen utiliti bawah tanah.

 

UUE_DagangNews2026

 

Di samping itu, UUE turut mencatatkan sumbangan aliran hasil baharu melalui segmen kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) sistem solar fotovoltaik (PV) berjumlah RM1.4 juta.

 

"Pasaran Malaysia masih adalah kekal sebagai penyumbang terbesar dengan hasil RM184.2 juta iaitu meningkat kira-kira 27.7%, manakala Singapura pula menyumbang sebanyak M24.8 juta," jelasnya lagi.

 

Walaupun hasil meningkat, margin keuntungan kasar (GP) kumpulan susut kepada 25.0% berbanding 27.6% pada tahun kewangan sebelumnya disebabkan situasi perubahan dalam campuran projek di Singapura.

 

Ia melibatkan skop kerja pembekalan material dengan margin rendah, serta tahap kecekapan operasi UUE yang terjejas akibat kelembapan sementara aktiviti projek pada separuh pertama tahun kewangan.

 

Melangkah ke hadapan, kumpulan tersebut optimis dengan mempunyai buku tempahan melebihi RM500 juta dan sekali gus memberikan penglihatan pendapatan kukuh bagi tempoh tiga tahun yang akan datang.

 

"Syarikat juga sedang membina kilang baharu bagi pembuatan paip polietilena berketumpatan tinggi (HDPE) yang dijangka siap pada suku ketiga tahun ini bagi memenuhi permintaan," katanya. - DagangNews.com