KUALA LUMPUR 29 Jun - Tawaran Awam Permulaan (IPO) SRKK AI Berhad mendapat sambutan luar biasa apabila tawaran saham kepada orang awamnya terlebih langgan sebanyak 312.3 kali, sekali gus menjadi kadar terlebih langgan tertinggi bagi IPO di Bursa Malaysia setakat tahun 2026.
Syarikat penyedia rumusan transformasi digital itu dijadualkan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd pada 9 Julai 2026.
Dalam satu kenyataan, SRKK AI berkata, syarikat menerima 29,428 permohonan bernilai kira-kira RM1.4 bilion bagi 14.2 juta saham yang diperuntukkan kepada pelabur awam Malaysia.
Jumlah permohonan tersebut turut meletakkan modal runcit sebanyak RM1.4 bilion yang berjaya dikumpulkan sebagai antara yang tertinggi bagi bahagian runcit awam IPO di Bursa Malaysia pada tahun ini.
Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SRKK AI, Yew Lip Sin, berkata sambutan menggalakkan itu mencerminkan keyakinan pelabur terhadap rekod pencapaian syarikat serta prospek pertumbuhan dalam segmen kecerdasan buatan (AI).
"Kami amat berbesar hati dengan kepercayaan yang diberikan oleh pelabur. Ia menjadi pemangkin untuk mempercepatkan pembangunan penyelesaian berasaskan AI serta memperluaskan skop perkhidmatan kepada lebih 1,600 pelanggan sedia ada bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
"Dengan pengalaman mengintegrasikan AI dalam operasi perusahaan dan pelan pertumbuhan strategik yang telah dirangka, IPO ini membolehkan kami memanfaatkan potensi besar pasaran AI di rantau Asia Tenggara," katanya.
Pengembangan Operasi
Menerusi penyenaraian itu, SRKK AI dijangka mengumpulkan hasil sebanyak RM20.48 juta.
Daripada jumlah tersebut, RM4 juta akan digunakan bagi memperkukuh inisiatif AI termasuk penubuhan makmal AI, akademi AI serta pembangunan penyelesaian analitik data dan risikan perniagaan berasaskan AI.
Syarikat turut memperuntukkan RM1.84 juta untuk pengembangan operasi ke Indonesia, RM3.70 juta bagi membangunkan Pusat Operasi Keselamatan (Security Operations Centre), RM1.80 juta untuk aktiviti penjenamaan, pemasaran dan promosi, RM4.64 juta sebagai modal kerja serta RM4.50 juta bagi menampung kos penyenaraian.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, penyelesaian berasaskan AI menyumbang kira-kira 11% atau RM11.8 juta daripada jumlah hasil syarikat.
SRKK AI turut menetapkan dasar dividen dengan mengagihkan sekurang-kurangnya 20% daripada keuntungan selepas cukai yang boleh diagihkan kepada pemegang saham.
Syarikat menyediakan penyelesaian transformasi digital secara menyeluruh kepada perusahaan dengan mengintegrasikan AI ke dalam keseluruhan kitaran hayat teknologi maklumat (IT), merangkumi keselamatan siber, aliran kerja perniagaan, pengkomputeran awan, pembangunan perisian dan analitik.
SRKK AI juga merupakan antara Managed Partner Microsoft dan penyedia penyelesaian pertama dari Malaysia yang memperoleh kesemua enam pengiktirafan Microsoft Solution Partner di bawah Microsoft AI Cloud Partner Program. - DagangNews.com








