Taliworks raih kontrak Sungai Rasau buat kali kedua, HLIB kekal saranan 'beli' | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Taliworks raih kontrak Sungai Rasau buat kali kedua, HLIB kekal saranan 'beli'

Tanpa Loji Rawatan Air Rasau, margin rizab air semasa di Klang akan menurun kepada 1.9% menjelang 2024. - Gambar hiasan

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 17 Dis - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menyemak naik unjuran Taliworks Corp. Bhd. bagi tahun kewangan 2022 (FY22) dan FY23 masing-masing sebanyak 11.1% dan 20.1%. 

 

Ini berikutan perolehan kontrak baharu daripada Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) bernilai RM602.43 juta bagi cadangan pembangunan loji rawatan air Sungai Rasau dan skim pembekalan air (fasa pertama), Pakej Selangor 2.

 

Pakej 2 merangkumi reka bentuk dan pembinaan cadangan stesen mengepam air terawat dan sesalur pam air terawat ke tadahan sedia ada Bukit Lipat Kajang, pengagihan dan kerja berkaitan.

 

Syarikat akan mempunyai akses ke tapak pada 29 Disember 2021 dan kerja-kerja dijangka selesai pada 31 Disember 2024. 

 

Penganalisis HLIB, Edwin Woo berkata, perolehan kontrak itu agak mengejutkan kerana tidak menjangkakan Taliworks akan meraih 2 daripada 3 pakej yang ditawarkan untuk projek tersebut.

 

Katanya, ini secara tidak langsung menjadikan jumlah keseluruhan yang diraih bagi projek itu bagi FY21 sebanyak RM896.3 juta dan boleh menyediakan pendapatan kepada kumpulan untuk tempoh 3 tahun.  

 

"Kami positif dengan perolehan kontrak ini meskipun tidak menjangkakan Taliworks akan memenangi bidaan sekali lagi untuk projek yang sama. 

 

"Ini membolehkan kami menjangkakan margin keuntungan sebelum cukai (PBT) berada dalam julat antara 6 hingga 8%," katanya dalam nota kajian hari ini.  

 

Skim Bekalan Air Rasau dijangka mempunyai kapasiti untuk menghasilkan bekalan air bersih hingga 700 juta liter sehari (JLH) ke Wilayah Klang menjelang selesainya tahap pertama projek ini pada 2024.

 

Laman web Air Selangor menunjukkan tanpa Loji Rawatan Air Rasau, margin rizab air semasa di Klang akan menurun kepada 1.9% dalam tempoh tersebut.

 

Woo menganggarkan kira-kira RM3 bilion nilai kontrak masih menunggu untuk diserahkan (pakej 1), mungkin dalam tempoh 2 bulan akan datang. 

 

"Kami tidak menjangkakan lebih banyak kontrak bagi kejuruteraan dan pembinaan kerana 2 daripada 3 pakej dikeluarkan telah diperoleh Taliworks. 

 

"Tetapi, kami mendapati syarikat telah mengemukakan bidaan bagi pakej projek yang selebihnya," tambahnya. 

 

Secara keseluruhan firma itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap Taliworks dengan harga sasaran tidak berubah pada 98 sen. 

 

Setakat 10.14 pagi, harga saham Taliworks menokok 0.05 sen atau 0.58% kepada 86 sen dengan 987,700 saham diniagakan. - DagangNews.com