TA Securities jangka pertumbuhan jualan F&N terus meningkat pada 3QFY23 didorong sumbangan Cocoaland | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TA Securities jangka pertumbuhan jualan F&N terus meningkat pada 3QFY23 didorong sumbangan Cocoaland

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 8 Mei - Pertumbuhan jualan tahun ke tahun (YoY) Fraser & Neave Holdings Berhad dijangka terus meningkat pada suku akan datang (3QFY23), dipacu oleh sumbangan Cocoaland Holdings Bhd, menurut TA Securities.

 

Ketibaan pelancong lebih rendah daripada jangkaan dan permintaan domestik yang meredam untuk F&B Thailand masih menjadi kebimbangan namun firma penyelidikan itu percaya pelarasan harga sepatutnya dapat mengurangkan sebarang penurunan dalam volum jualan.

 

Selain itu, firma itu berkata, kos input kekal tinggi dengan margin kasar untuk suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23) pada 27.4%, naik 2.5% mata YoY tetapi turun 0.3% mata suku ke suku (QoQ), jauh lebih rendah daripada kira-kira 30% pra-pandemik.

 

“F&N menjangkakan harga bahan mentah utama seperti susu, minyak sawit dan gula kekal tinggi pada 2023.

 

Oleh itu, margin kasar tidak dijangka pulih ke tahap pra-pandemik, namun kami percaya bahawa kumpulan itu sepatutnya dapat mengurangkan kesan peningkatan kos dengan strategi pengurusan kos,” tambah dalam nota hari ini.

 

Mengulas mengenai laporan suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23) baru-baru ini, firma itu berkata pendapatan teras separuh pertama tahun kewangan 2023 (1HFY23) sebanyak RM219.5 juta kumpulan itu dalam jangkaan firma dan konsensus, masing-masing pada 51% dan 49% daripada anggaran tahun penuh.

 

Pertumbuhan pendapatan 2QFY23 telah didorong oleh peningkatan jualan di Malaysia dan pengembangan margin di Thailand.

 

Pendapatan operasi makanan dan minuman (F&B) kumpulan itu di Malaysia pada 2QFY23 melonjak 15% tahun ke tahun (YoY) kepada RM707.6 juta didorong oleh jualan perayaan dan sumbangan daripada Cocoaland.

 

Manakala pendapatan F&B Thailand meningkat 1.3% YoY disebabkan kadar pertukaran asing Ringgit Malaysia dan Baht Thailand (MYR/THB) yang menggalakkan dengan pelarasan harga dan pengurusan diskaun lebih baik telah membawa kepada lonjakan 26.3% YoY dalam keuntungan operasi suku tahunan.

 

Oleh itu, tiada perubahan pada unjuran pendapatan firma tersebut.

 

Berikutan peningkatan harga saham F&N baru-baru ini, firma tersebut telah menurunkan penarafan saranan kepada ‘pegang; dengan harga sasaran (TP) RM29.70 sesaham. -DagangNews.com