T7 Global raih kontrak RM400 juta daripada Busrakham G11 | DagangNews Skip to main content

T7 Global raih kontrak RM400 juta daripada Busrakham G11

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 19 Sept - T7 Global Bhd. menerusi anak syarikat milik penuhnya, Tanjung
Offshore Services Sdn. Bhd. memperoleh kontrak penyewaan, operasi dan penyelenggaraan daripada  Busrakham G11 Ltd. bernilai hampir RM400 juta. 

 

Kontrak tersebut membabitkan penyediaan pajakan, operasi dan penyelenggaraan Unit Pengeluaran Luar Pesisir Mudah Alih (MOPU) di medan Nong Yao, Teluk Selatan Thailand.

 

"Perolehan kontrak ini adalah bagi tempoh selama lima tahun dengan dua tahun lanjutan," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Busrakham G11 yang sebelum ini dikenali sebagai MP G11 (Thailand) Ltd terlibat dalam aktiviti cari gali dan pengeluaran petroleum.

 

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif T7 Global, Tan Kay Zhuin berkata, kontrak itu merupakan projek MOPU kumpulan yang ketiga yang mana sebelum itu MOPU Cendor ditukar untuk Petrofac dan yang kedua ialah MOPU Bayan yang dibina baharu untuk Petronas Carigali.

 

Menurutnya, penyelesaian MOPU kumpulan ialah konsep bina-sendiri-kendali, yang membolehkan pengendali luar pesisir menjalankan pengeluaran pantas dalam medan marginal dan/atau meningkatkan pemulihan hidrokarbon dalam medan matang, dengan pendedahan yang berkurangan dalam perbelanjaan modal awal.

 

"Melihat kepada pencapaian terbaharu ini, kami yakin dapat mencapai sasaran kami dalam mendapatkan kontrak utama secara konsisten dan kami amat berbangga dengan pencapaian ini kerana ia adalah kemenangan di luar negara.

 

"Kami yakin T7 Global kini mampu berada alam kedudukan sebagai salah satu penyedia penyelesaian MOPU di rantau ini," katanya.

 

T7 Global menjangkakan kontrak tersebut tidak memberi kesan kepada modal terbitan dan berbayar serta pemegangan utama syarikat kerana ia tidak membabitkan terbitan baharu saham.

 

Sebaliknya, ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih syarikat untuk tempoh kewangan sepanjang tempoh kontrak ini. - DagangNews.com