Syed Mokhtar jadikan MMC syarikat persendirian, MIDF turunkan saranan sejajar harga tawaran | DagangNews Skip to main content

Syed Mokhtar jadikan MMC syarikat persendirian, MIDF turunkan saranan sejajar harga tawaran

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 Okt. - MIDF Research menyemak turun penarafan MMC Corp. Bhd. kepada 'neutral' berbanding 'beli' sebelum ini selepas pemegang saham meluluskan cadangan Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary untuk mengambil alih MMC sebagai syarikat persendirian.

 

Dalam mesyuarat agung tahunan luar biasa (EGM) semalam, sebanyak 99.75% daripada pemegang saham memilih untuk menyokong cadangan penswastaan yang dikemukakan hartawan tersebut.

 

"Boleh dikatakan hasil yang baik daripada EGM ini, harga saham MMC melantun daripada paras serendah RM1.63 kepada awal minggu ini kepada RM1.95 setakat semalam. 

 

"Oleh itu, kami menurunkan saranan kami terhadap MMC kepada neutral dengan harga sasaran tidak berubah sebanyak RM2.00 menyamai harga tawaran bagi pengurangan modal secara selektif (SCR)," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

EGM semalam diadakan untuk membuat keputusan mengenai cadangan SCR oleh Seaport Terminal (Johore) Sdn. Bhd. (STJSB).

 

Pada 3 Jun lalu, Syed Mokhtar menerusi syarikat tujuan khas, STJSB yang memiliki pegangan 51.76% dalam MMC mengumumkan pelan untuk menjadikan MMC sebagai syarikat persendirian menerusi SCR pada harga RM2 sesaham.

 

Ini mungkin menyaksikan beliau terpaksa mengeluarkan sebanyak RM2.94 bilion untuk memiliki lebihan 48.24% saham dalam syarikat tersebut.

 

MIDF Research mengulangi pendapatnya dalam laporan bertarikh 4 Jun lalu bahawa langkah tersebut dilihat mekanisme terbaik untuk menambah nilai bagi saham MMC yang diniagakan secara berterusan di bawah nilai.

 

Setakat 10.06 pagi ini, saham MMC menokok 1 sen atau 0.51% kepada RM1.96 dengan 6.82 juta saham diniagakan. -DagangNews.com