Syarikat pengilang kayu Sabah, Priceworth mahu tukar nama kepada Maxland Berhad | DagangNews Skip to main content

Syarikat pengilang kayu Sabah, Priceworth mahu tukar nama kepada Maxland Berhad

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 30 April - Pengilang kayu dari Sabah, Priceworth International Berhad bercadang untuk menukar namanya daripada “Priceworth International Berhad” kepada “Maxland Berhad”.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia, syarikat itu menyatakan nama yang dicadangkan “Maxland Berhad” telah diluluskan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan tempahan untuk penggunaan nama yang dicadangkan itu dilanjutkan hingga 24 Julai 2024.

 

"Lembaga Pengarah PWI ingin mengumumkan syarikat bercadang untuk menukar namanya daripada “Priceworth International Berhad” kepada “Maxland Berhad”.

 

"Cadangan Pertukaran Nama adalah tertakluk kepada kelulusan pemegang saham Syarikat pada Mesyuarat Agung Luar Biasa yang akan diadakan pada tarikh yang akan diumumkan kemudian.

 

"Pekeliling kepada pemegang saham dengan butiran Cadangan Pertukaran Nama akan dikeluarkan kepada pemegang saham dalam masa terdekat," kata syarikat itu.

 

PWI sudah pun memiliki syarikat menggunakan nama Maxland iaitu Maxland Energy Sdn. Bhd. yang telah mengambil alih 100% pegangan dalam Melur Azim Sdn. Bhd. berharga RM46.7 juta pada 15 Disember 2023.

 

Bagi tahun kewangan 2023, PWI mencatat perolehan sebanyak RM49.6 juta, turun 62% berbanding FY2022 dan menanggung kerugian bersih sebanyak RM2.52 juta (jatuh 115% berbanding keuntungan RM17.2 juta padan FY2022. - DagangNews.com