KUALA LUMPUR 23 Sept - Sebuah Sekolah Amanah Malaysia telah dicalonkan sebagai tiga finalis teratas bagi World’s Best School Prizes yang menawarkan hadiah sebanyak AS$250,000 (RM1.1 juta).
Pertandingan itu dilancarkan pada tahun ini daripada T4 Education dengan kerjasama Yayasan Hasanah, Accenture dan American Express.
Sekolah Kebangsaan (SK) Kempadang, sebuah sekolah rendah di Kuantan, Pahang telah mencipta sistem penyelesaian digital sepenuhnya bagi mengesan kemajuan murid bagi kategori Inovasi.
Lima kategori World’s Best School Prizes bagi Kolaborasi Komuniti, Tindakan Persekitaran, Inovasi, Menangani Cabaran dan Menyemai Hidup Sihat meraikan sekolah-sekolah di serata dunia bagi peranan penting dalam membangunkan generasi pelajar masa hadapan dan sumbangan besar mereka terhadap kemajuan masyarakat, terutamanya dengan kewujudan COVID-19.
Pemegang Amanah dan Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Datuk Shahira Ahmed Bazari berkata, beliau menzahirkan ucapan tahniah kepada sekolah terbabit kerana berjaya disenaraikan sebagai tiga finalis teratas bagi World’s Best School Prizes yang pertama kali dianjurkan.
"Kecemerlangan Sekolah Amanah Malaysia ini akan menjadi inspirasi kepada para pendidik di seluruh dunia. Ia adalah bukti berterusan bahawa, sekolah awam kita juga mampu menjadi antara yang terbaik di dunia.
“Kami berbesar hati bekerjasama dengan T4 Education dalam menyokong penganjuran anugerah ini, yang mengiktiraf dan menggalakkan transformasi ‘bawah-ke-atas’ dan mewujudkan komuniti global yang belajar daripada satu sama lain serta mencipta gelombang impak positif terhadap murid di seluruh dunia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pengasas T4 Education dan Anugerah Sekolah Terbaik Dunia, Vikas Pota berkata, ketika dunia sedang pulih daripada kemusnahan akibat pandemik COVID-19, terlalu ramai kanak-kanak yang akan terus tercicir, kecuali mengambil tindakan segera untuk pendidikan.
"World’s Best School Prizes menampilkan kepakaran sekolah-sekolah yang memberi inspirasi dari seluruh pelusuk dunia. Sudah tiba masanya kerajaan di seluruh dunia mendengar suara mereka," katanya.
Pengarah Eksekutif LeapEd Services, Nina Adlan Disney pula berkata, kejayaan SK Kempadang di peringkat global adalah bukti bahawa transformasi sekolah secara menyeluruh boleh dicapai.
"Matlamat kami ialah untuk membangunkan kapasiti dan memperkasa sekolah-sekolah untuk menghasilkan sendiri solusi inovatif bagi cabaran yang mereka hadapi secara proaktif.
"Kami amat berbangga dengan SK Kempadang dan berharap agar mereka dilihat sebagai suri teladan hasil usaha kolektif setiap pemegang taruh, kementerian, negeri dan daerah, bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin sekolah, guru-guru, murid-murid, ibu bapa serta komuniti," katanya. - DagangNews.com







