Mahkamah Persekutuan tolak rayuan, bekas pengarah Patimas diperintah bayar RM1.94 juta kepada SC | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mahkamah Persekutuan tolak rayuan, bekas pengarah Patimas diperintah bayar RM1.94 juta kepada SC

KUALA LUMPUR 2 Julai - Bekas pengarah eksekutif Patimas Computers Bhd, Datuk Ng Back Heang diperintahkan membayar RM1.94 juta kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonannya untuk mendapatkan kebenaran merayu dalam kes dagangan orang dalam.

 

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Datuk Seri Vazeer Alam Mydin Meera memutuskan bahawa persoalan undang-undang yang dibangkitkan Ng telah pun diputuskan menerusi kes terdahulu melibatkan Datuk Sreesanthan Eliathamby.

 

Sehubungan itu, mahkamah memutuskan syarat untuk memberikan kebenaran merayu tidak dipenuhi dan permohonan tersebut ditolak, lapor The Edge.

 

Selain diarahkan membayar RM1.24 juta sebagai pelucuthakan keuntungan (disgorgement) dan RM700,000 sebagai penalti sivil kepada SC, Ng, 72, turut diperintah membayar kos sebanyak RM50,000.

 

Turut bersidang dalam panel itu ialah Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

 

Peguam Ng, Datuk Jasbeer Singh, memohon kebenaran merayu dengan mengemukakan tiga persoalan undang-undang.

 

Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan berpandangan semua isu berkenaan telah dijawab menerusi keputusan dalam kes Sreesanthan yang diputuskan tahun lalu.

 

Dalam penghakiman itu, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa kesalahan dagangan orang dalam di bawah Seksyen 89E(1) Akta Industri Sekuriti 1983, yang kini diperuntukkan di bawah Seksyen 188(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007, memerlukan pembuktian bahawa seseorang mengetahui atau sepatutnya mengetahui maklumat yang dimilikinya belum didedahkan kepada umum.

 

Mahkamah turut memutuskan bahawa kuasa Pendakwa Raya di bawah Peguam Negara untuk mendakwa kesalahan jenayah tidak terpakai terhadap tindakan sivil berkaitan dagangan orang dalam yang difailkan oleh SC.

 

Kes terhadap Ng berpunca daripada penjualan 16.5 juta saham Patimas antara Mei hingga Julai 2012 ketika beliau memiliki maklumat material yang belum diumumkan kepada umum berhubung pertanyaan audit serta transaksi mencurigakan melibatkan syarikat dan penghutang utamanya.

 

Mahkamah Tinggi sebelum ini memutuskan Ng bertanggungjawab pada November 2022, sebelum keputusan itu dikekalkan Mahkamah Rayuan pada September 2025.

 

Beliau turut dikenakan larangan memegang jawatan sebagai pengarah syarikat tersenarai awam selama lima tahun.

 

Kes berkenaan merupakan tuntutan sivil berkaitan dagangan orang dalam kedua yang berjaya dimenangi SC terhadap bekas pengarah Patimas, sekali gus mengukuhkan pendirian pengawal selia pasaran modal itu dalam mengambil tindakan terhadap pelanggaran undang-undang sekuriti dan melindungi integriti pasaran modal negara. - DagangNews.com