Axiata bubarkan secara sukarela anak syarikat perniagaan digital tidak aktif sejak 2022 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Axiata bubarkan secara sukarela anak syarikat perniagaan digital tidak aktif sejak 2022

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 2 JulaiAxiata Group Berhad mengambil langkah membubarkan secara sukarela anak syarikatnya, Awake Asia Distribution Sdn Bhd yang tidak lagi menjalankan operasi sejak 2022.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, penutupan tersebut sebagai usaha memperkemaskan struktur korporat serta mengurangkan kos pentadbiran yang tidak lagi diperlukan.

 

Ujarnya, subsidiari berkenaan sebelum ini aktif menjalankan perniagaan perdagangan, peruncitan dan pengedaran pelbagai jenis barangan pengguna menerusi platform dagangan elektronik serta e-dagang.

 

"Awake Asia Distribution yang juga entiti di bawah segmen perniagaan digital dan kecerdasan buatan (AI) Axiata sudah memulakan proses penggulungan mengikut peruntukan Akta Syarikat 2016," katanya.

 

Kumpulan telekomunikasi itu berkata, syarikat tersebut diperbadankan pada 20 September 2017 dengan modal saham terbitan sebanyak RM1.48 juta yang terdiri daripada kira-kira 1.48 juta saham biasa.

 

Jelasnya, entiti berkenaan merupakan sebahagian daripada kumpulan syarikat yang diperoleh kumpulan itu pada 2021 sebelum tidak aktif dan tidak menjalankan sebarang perniagaan sejak tiga tahun lalu.

 

Axiata_DagangNews2026

 

Menurutnya, Awake Asia Distribution adalah subsidiari ADA Data AI Commerce Solutions Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura, dan seterusnya dimiliki secara tidak langsung dalam kumpulan Axiata.

 

"Sehubungan itu, bagi tujuan rasmi menguruskan proses pembubaran tersebut, Sky Corporate Services Sdn Bhd telah pun dilantik sebagai pelikuidasi yang berkuat kuasa 2 Julai 2026," tambahnya lagi.

 

Langkah penutupan anak syarikat berkenaan jelasnya, dijangka mengambil masa antara sembilan hingga 12 bulan bergantung kepada penerimaan surat pelepasan cukai daripada pihak berkuasa percukaian.

 

Usaha itu juga kata Axiata bagi memperkemaskan struktur korporat, menghapuskan lapisan pentadbiran yang tidak lagi diperlukan serta mengurangkan kos penyelenggaraan korporat, audit dan pematuhan.

 

Kumpulan berkenaan turut menjelaskan bahawa keputusan itu perlu dilaksanakan memandangkan tiada sebarang perancangan untuk mengaktifkan semula operasi Awake Asia Distribution pada masa hadapan.

 

"Proses ini tidak memberi sebarang kesan material terhadap hasil, aset bersih, tahap hutang, modal saham atau pegangan saham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026," jelasnya. - DagangNews.com