Duopharma raih kontrak bekalan insulin RM225.77 juta daripada KKM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Duopharma raih kontrak bekalan insulin RM225.77 juta daripada KKM

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 Julai – Duopharma Biotech Bhd memperoleh kontrak bernilai kira-kira RM225.77 juta daripada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi membekalkan pelbagai jenis insulin ke hospital dan fasiliti kesihatan awam di seluruh negara.

 

Kontrak itu dianugerahkan kepada anak syarikat milik penuhnya, Duopharma (M) Sdn Bhd melibatkan pembekalan insulin untuk kegunaan pesakit diabetes di bawah sistem penjagaan kesihatan awam.

 

Duopharma berkata kontrak tersebut merangkumi perjanjian selama tiga tahun bernilai kira-kira RM155.27 juta bagi pembekalan insulin manusia rekombinan, selain dua kontrak berasingan selama dua tahun masing-masing bernilai RM18 juta bagi insulin glargine dan RM52.5 juta bagi insulin aspart.

 

“Mengikut perjanjian itu, Biocon Sdn Bhd, anak syarikat kepada Biocon Limited akan membekalkan produk insulin berkenaan kepada Duopharma (M) daripada kemudahan pembuatan syarikat itu di Johor sebelum diedarkan kepada KKM untuk kegunaan fasiliti kesihatan awam di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Kerjasama itu selaras dengan matlamat Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) serta Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang memberi tumpuan kepada pengukuhan daya tahan sistem kesihatan, memastikan bekalan ubat-ubatan penting terus stabil serta memperkukuh keupayaan industri farmaseutikal negara.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Duopharma, Wan Amir-Jeffery Wan Abdul Majid berkata kontrak terbaharu itu menandakan sedekad kerjasama strategik antara Duopharma dan Biocon dalam membekalkan insulin kepada sistem penjagaan kesihatan negara.

 

Beliau berkata, keupayaan pembuatan farmaseutikal dalam negara kini lebih penting berbanding sebelum ini bagi memastikan pesakit terus mendapat akses kepada ubat-ubatan penting, di samping memperkukuh keselamatan bekalan ubat negara dan meningkatkan tahap sara diri sektor kesihatan.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Biocon, Shreehas Tambe berkata Malaysia sangat penting kepada perniagaan insulin syarikat itu sejak lebih sedekad lalu menerusi kemudahan pembuatan insulin bersepadu di Johor.

 

Beliau berkata, operasi di Johor yang disifatkan sebagai pusat pembuatan insulin terbesar di Asia membolehkan syarikat menghasilkan insulin pada skala besar bagi memenuhi permintaan pesakit di Malaysia dan pasaran global.

 

Katanya, kemudahan itu turut mengukuhkan strategi Biocon untuk memenuhi keperluan penjagaan kesihatan yang semakin meningkat, selain meneruskan misinya menyediakan ubat-ubatan yang mampu mengubah kehidupan pada harga berpatutan dan mudah diakses oleh pesakit. - DagangNews.com