KUALA LUMPUR 2 Julai — LPC Group Berhad mencatatkan pendapatan yang memberangsangkan apabila berjaya meningkat 15% kepada RM47.95 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 April 2026 (FY26).
Pertumbuhan positif tersebut berbanding RM41.59 juta pada tahun kewangan sebelumnya itu disokong kuat oleh pelaksanaan projek pembinaan bangunan di Bukit Katil dan Mukim Tanjung Minyak, Melaka.
Syarikat tersebut turut mencatatkan lonjakan keuntungan kasar kira-kira 51% kepada RM6.28 juta, yang mencerminkan peningkatan kecekapan perbelanjaan dan kawalan kos projek secara lebih efektif.
"Untung bersih namun susut 56.7% kepada RM1.41 juta, terutamanya akibat kos perbelanjaan penyenaraian yang berjumlah RM1.28 juta berkaitan tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran LEAP," kata LPC.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia melaporkan jika kos tersebut tidak diambil kira, kumpulan sebenarnya mencatatkan keuntungan sebelum cukai dilaraskan yang lebih tinggi iaitu RM4.35 juta.

Bagi separuh kedua tahun kewangan 2026 (2HFY26), ia meraih hasil RM22.48 juta dan untung bersih sebanyak RM677,000, dengan memiliki sejumlah 20 projek yang sedang berjalan setakat 30 April 2026.
Tambah LPC, nilai kontrak untuk keseluruhan projek pembangunan hartanah berkenaan dianggarkan mencecah kira-kira RM98.99 juta manakala buku tempahan belum dibilkan berjumlah RM39.94 juta.
"Mengenai prospek masa depan, Lembaga Pengarah menyatakan keyakinan berhati-hati terhadap prestasi kumpulan meskipun berdepan cabaran inflasi kos input pembinaan seperti bahan api," jelasnya lagi.
Sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhan, kumpulan merancang mengembangkan kehadiran operasi ke Johor dan Lembah Klang bagi memanfaatkan permintaan pembangunan hartanah yang kukuh.
Selain itu, LPC turut berhasrat meneroka peluang dalam projek infrastruktur. Tiada sebarang dividen diisytiharkan atau dicadangkan bagi tempoh kewangan di bawah tahun tinjauan ini. - DagangNews.com








