Serba Dinamik dijangka keluarkan Laporan Tahunan 2021 pada 6 Januari ini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Serba Dinamik dijangka keluarkan Laporan Tahunan 2021 pada 6 Januari ini

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 


KUALA LUMPUR 3 Jan - Serba Dinamik Holdings Bhd. bersedia untuk menerbitkan Laporan Tahunan 2021 bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2021 pada 6 Januari 2022. 

 

Menurutnya, Laporan Tahunan 2021 dan Penyata Kewangan Diaudit syarikat kekal tertunggak memandangkan syarikat memerlukan lebih masa untuk mengemas kini penyata atau laporan dan membuat pengaturan untuk cetakan. 

 

"Syarikat bersedia untuk mengeluarkan Laporan Tahunan 2021 secepat mungkin pada tarikh yang dijangkakan," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Pada 25 November lalu, Serba Dinamik berkata, ia tidak dapat mengeluarkan Laporan Tahunan 2021 pada tarikh akhir ditetapkan iaitu 30 November 2021 yang diberikan oleh Bursa Malaysia Securities Bhd untuk lanjutan masa pertama (EOT).

 

Ini memandangkan pertukaran juruaudit luar dan kesan akibat sekatan pergerakan di Malaysia dan luar negara susulan daripada pandemik COVID-19 dan audit penyata kewangan bagi tempoh kewangan (AFS 2021) terjejas serta tidak boleh dimuktamadkan kerana kesuntukan masa untuk dimasukkan ke dalam Laporan Tahunan.

 

Malah, berdasarkan piawaian perakaunan dan pengauditan yang diluluskan, syarikat itu berpendapat juruaudit perlu diberi masa yang mencukupi untuk melaksanakan kewajipan berkanun mereka tanpa gangguan serta kekangan masa untuk memastikan kerja audit dapat dijalankan dengan berkesan dan lengkap.

 

Sehubungan itu, pada 23 November 2021, Serba Dinamik telah meminta EOT dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021 untuk mengeluarkan Laporan Tahunan 2021. 

 

Bagaimanapun, Bursa Securities menerusi suratnya bertarikh 24 November 2021 telah menolak permohonan EOT tambahan tersebut. - DagangNews.com