KUALA LUMPUR 20 April - Sektor perladangan dijangka perlahan pada permulaan tahun ini dengan penyusutan pendapatan pada suku pertama 2023 dan prospek pendapatan hanya akan bertambah baik pada separuh kedua tahun ini (2H23).
Maybank Investment Bank berkata sektor ini berkemungkinan akan menyaksikan penurunan suku ketiga berturut-turut bagi keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) tahun ke tahun (YoY) dalam suku pertama tahun 2023 (1Q23) akan datang yang tidak mengujakan pasaran.
Firma penyelidikan itu kekal ‘neutral’ terhadap sektor ini dan pilihan utama saranan ‘beli’ adalah Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) dengan harga sasaran (TP) RM23.90 sesaham dan Ta Ann Holdings Berhad dengan TP RM3.70.
Mengulas lanjut, firma itu berkata kelemahan 1Q23 didorong kemerosotan pendapatan, terutamanya disebabkan oleh purata harga jualan (ASP) minyak sawit mentah (MSM) dan isirung kelapa sawit yang lebih rendah dan peningkatan kos, tambahnya.
“ASP MSM spot 1Q23 di Malaysia adalah 34% lebih rendah YoY pada RM4,017 setiap tahun, manakala harga isirung kelapa sawit, iaitu produk sampingannya, menjunam 56% YoY kepada hanya RM2,053 setiap tan,” katanya dalam nota hari ini.
Bagaimanapun, harga baja yang turun mendadak akan memberi manfaat pada separuh kedua tahun ini memandangkan kebanyakan kumpulan perladangan biasanya mendapatkan keperluan baja mereka 6 hingga 12 bulan ke hadapan.
Mengulas berkenaan gaji, firma itu berkata, walaupun kebanyakan gaji minimum pekerja ladang sudah melebihi RM1,500 sebelum pelaksanaan kenaikan pada 1 Mei 2022, ia tetap mempengaruhi pengiraan bayaran lebih masa, antara lain.
Walaupun kos baja dan gaji tinggi pada 1Q23, cukai ‘durian runtuh’ yang lebih rendah meringankan bebanan kos, di mana mengikut anggaran Maybank IB, penanam Semenanjung Malaysia hanya membayar kira-kira RM149 setiap tan berbanding RM458 setiap tan pada suku pertama 2022 (1Q22), manakala penanam Sabah dan Sarawak membayar sekitar RM74 setiap tan berbanding RM383 setiap tan pada 1Q22.
“Bagi perniagaan hiliran, mengikut anggaran kami, terdapat kadar penggunaan YoY yang lebih tinggi sebanyak kira-kira 60% untuk kapasiti penapisan Malaysia pada 1Q23 berbanding 55% dalam 1Q22, dibantu oleh sekatan eksport minyak sawit Indonesia sejak Februari 2023 dan persekitaran harga MSM yang agak stabil,” tambahnya.
Menurut firma itu, kadar penggunaan yang lebih tinggi menunjukkan margin penapisan YoY lebih baik pada 1Q23 tetapi memandangkan trend harga MSM meningkat pada 1Q22, margin penapis juga dirangsang oleh keuntungan inventori setahun yang lalu.
Pada asas QoQ, disebabkan kadar penggunaan suku keempat lebih tinggi mengikut musim berbanding suku pertama berdasarkan ketersediaan bekalan MSM yang lebih besar, Maybank IB menjangkakan margin menjadi lebih lemah QoQ. -DagangNews.com








