Segmen huluan dijangka pacu hasil Sarawak Oil Palms pada suku kedua | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Segmen huluan dijangka pacu hasil Sarawak Oil Palms pada suku kedua

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 21 Julai - Maybank Investment Bank (IB) menjangkakan Sarawak Oil Palms Bhd. akan merekodkan hasil yang kukuh pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022 berikutan harga jualan purata (ASP) minyak sawit mentah yang lebih tinggi.

 

Firma itu berkata, ia akan mengimbangi pengeluaran tandan buah segar dan margin hiliran kumpulan yang lebih lemah. 

 

Katanya, pada suku kedua, kumpulan menyaksikan pengeluaran tandan buah segar sebanyak 280,206 tan metrik, susut 11% tahun ke tahun disebabkan faktor musim dan juga masalah kekurangan tenaga buruh.

 

"Namun, kelemahan ini diimbangi dengan ASP minyak sawit mentah yang lebih tinggi. Berdasarkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), ASP minyak sawit mentah mencapai paras tertinggi pada RM6,552 satu tan metrik. 

 

"Kami percaya ASP Sarawak Oil Palms akan menghampiri harga spot MPOB berikutan jualan hadapannya yang terhad pada 2022," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Sementara itu, menurutnya, segmen hiliran mungkin turut menjadi pemangkin kepada hasil kumpulan pada suku kedua ini.

 

Jelasnya, walaupun margin hiliran berkemungkinan positif pada April dan Mei, tetapi ia mungkin bertukar negatif pada Jun menyebabkan keseluruhan margin hiliran pada suku kedua hanya pulang modal atau sekurang-kurangnya merekodkan keuntungan kecil.

 

Tetapi, secara keseluruhan, Maybank IB menjangkakan keuntungkan pada suku kedua ini akan dipacu hasil daripada segmen huluan.

 

"Kami menjangkakan kumpulan akan merekodkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) pada suku tersebut sebanyak RM157 juta, meningkat 67% tahun ke tahun," tambahnya.

 

Pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022, untung bersihnya meningkat kepada RM195 juta daripada RM79.06 juta manakala pendapatan juga meningkat kepada RM1.43 bilion berbanding RM788.32 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Bagaimanapun, firma itu mengurangkan harga sasarannya kepada RM2.67 daripada RM4.10 sebelum ini setelah mengambil kira terbitan 1-2 saham bonus. Sebaliknya, saranan 'pegang' terhadap Sarawak Oil Palms dikekalkan.
 

 

Dalam dagangan berakhir 12.35 tengah hari ini, harga sahamnya susut 3 sen atau 1.15% kepada RM2.58 dengan 80,900 saham diniagakan. - DagangNews.com