KUALA LUMPUR 13 Jun - CGS-CIMB Research menjangkakan Scientex Packaging akan terus bergelut dengan margin keuntungan untuk masa akan datang selepas mengambil kira keadaan ekonomi semasa.
Firma itu berkata, kumpulan itu tidak mempunyai kelebihan untuk sentiasa menyemak semula harga produk mereka tidak seperti produk plastik atau pengeluar filem pembungkusan kerana mereka memiliki kontrak jangka panjang.
"Sebagai pengganti bungkusan yang fleksibel, Scientex Packaging memiliki kontrak untuk barangan pengguna yang bergerak pantas (FMCG) atau farmaseutikal untuk produk plastik biasa bersama label serta reka bentuk pembungkusan sebagai produk terakhir mereka," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Untung teras bersih Scientex Packaging untuk 9MFY7/22 adalah RM31.8 juta (tidak termasuk pelupusan aset bernilai RM17,000) yang menyumbang 81% daripada jangkaan setahun penuh dan 76% daripada pendapatan konsensus.
Keputusan yang lebih baik daripada jangkaan itu adalah kerana Jualan 9MFY7/22 syarikat melebihi jangkaan awal fima itu dan membentuk 95% daripada unjuran setahun penuh.
Pendapatan kumpulan bagi 9MFY7/22 melonjak 24.4% hasil daripada pertambahan permintaan daripada pelanggan domestik dan antarabangsa.
"Bagaimanapun, kos operasi kumpulan itu menjadi lebih tinggi sebanyak 29.5% pada 9MFY7/22 menyebabkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) menurun kepada 8.9% daripada 12.5% berbanding suku sebelum ini," katanya.
Firma itu meningkatkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) sebanyak 3% selain menyemak turun EPS FY7/23-24F dengan jangkaan antara 3% hingga 9% berdasarkan kepada kos yang tinggi serta cukai.
"Kami menyemak turun penarafan kumpulan kepada 'pegang' berbanding tambah dengan harga sasaran (TP) RM2.12.
"Saranan itu dibuat selepas mengambil kira risiko kenaikan bahan mentah serta kos logistik pada masa akan datang," katanya. - DagangNews.com








