Malaysia masih kekurangan juruaudit dalaman bertauliah, kata Institut Juruaudit Dalaman Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia masih kekurangan juruaudit dalaman bertauliah, kata Institut Juruaudit Dalaman Malaysia

Presiden IIA Malaysia, Suhailah Mohamed Abdulla (kanan) bersama Ketua Pegawai Masa Depan BAC Education Group, Raja Singham menunjukkan dokumen MoU yang dimeterai di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 29 Jun - Malaysia masih berdepan kekurangan juruaudit dalaman bertauliah ketika negara mencatat pertumbuhan ekonomi yang kukuh, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keupayaan bakat tempatan untuk menyokong keperluan tadbir urus korporat yang semakin kompleks.

 

Menurut Institut Juruaudit Dalaman Malaysia (IIA Malaysia), keadaan itu menjadi lebih ketara apabila ekonomi negara merekodkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.4% pada suku pertama 2026, yang mencerminkan pengembangan aktiviti perniagaan serta peningkatan keperluan terhadap pengurusan risiko dan kawalan dalaman yang lebih kukuh.

 

Dalam masa sama, perubahan dalam landskap pekerjaan dan peningkatan permintaan terhadap kemahiran khusus turut menuntut pembangunan laluan kerjaya profesional yang lebih berdaya tahan serta berorientasikan pensijilan antarabangsa.

 

Sehubungan itu, IIA Malaysia dan BAC Education Group memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh pembangunan bakat dan melahirkan lebih ramai juruaudit dalaman yang diiktiraf serta selaras dengan piawaian global.

 

Kerjasama itu bertujuan menyokong keperluan perniagaan yang semakin besar dan kompleks, selain memperluaskan akses kepada latihan profesional serta pensijilan Auditor Dalaman Bertauliah (CIA) di Malaysia.

 

Presiden IIA Malaysia, Suhailah Mohamed Abdulla berkata, ekonomi yang berkembang pesat memerlukan juruaudit dalaman yang bukan sahaja kompeten dari sudut teknikal, tetapi juga mampu berperanan sebagai penasihat strategik dalam aspek tadbir urus, jaminan, kawalan dan pengurusan risiko.

 

"Perkembangan ekonomi negara memerlukan juruaudit dalaman yang bukan sekadar melaksanakan semakan pematuhan, tetapi turut berperanan dalam mencipta, melindungi dan mengekalkan nilai korporat," katanya.

 

Menurut beliau, kerjasama dengan BAC Education Group itu juga memperkukuh usaha strategik untuk meningkatkan bilangan pemegang sijil CIA di Malaysia serta memperluaskan asas keahlian profesion tersebut.

 

Inisiatif Utama

Melalui MoU itu, kedua-dua pihak akan memperkenalkan beberapa inisiatif utama termasuk program tutorial CIA, laluan pengajian Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dengan pengkhususan dalam audit dalaman yang turut mengintegrasikan CIA Bahagian 1, 2 dan 3 sebagai subjek elektif.

 

Selain itu, program pembangunan profesional berterusan (CPD) akan diperluaskan bagi merangkumi bidang risiko baharu, di samping penganjuran seminar, bengkel dan program pembangunan kerjaya secara bersama.

 

Kerjasama tersebut turut memberi penekanan kepada integrasi pendidikan berasaskan teknologi dan penyelidikan dalam bidang audit dalaman, seiring dengan keperluan industri yang semakin berubah.

 

Malah, pelajar BAC Education Group kini turut layak menyertai komuniti IIA Malaysia, sekali gus memperluaskan asas bakat dalam profesion audit dalaman di negara ini.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Masa Depan BAC Education Group, Raja Singham berkata, kelebihan daya saing dalam era teknologi tidak lagi bergantung kepada kelayakan akademik semata-mata, sebaliknya memerlukan pembangunan kemahiran dan pensijilan profesional yang berterusan.

 

"Kerjasama ini bertujuan membina saluran bakat yang bersedia menghadapi masa depan dengan menggabungkan pembelajaran akademik dan pensijilan profesional yang diiktiraf di peringkat global.

 

"Kami mahu graduan memasuki pasaran kerja bukan sekadar dengan ilmu pengetahuan, tetapi juga dengan keyakinan, kecekapan dan kelayakan bertaraf antarabangsa yang membolehkan mereka memberi impak sejak hari pertama," katanya.

 

Ditubuhkan pada 1977, IIA Malaysia ialah sebuah pertubuhan profesional bukan berasaskan keuntungan yang memfokuskan kepada pembangunan profesion audit dalaman di Malaysia.

 

Ketika ini, IIA Malaysia mempunyai lebih 3,400 ahli di seluruh negara dan terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh amalan tadbir urus, ketelusan serta akauntabiliti melalui program advokasi, latihan dan pensijilan profesional. - DagangNews.com