ScaleUp Malaysia labur lebih RM2.65 juta tingkatkan inovasi ekonomi digital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ScaleUp Malaysia labur lebih RM2.65 juta tingkatkan inovasi ekonomi digital

Tay Shan Li
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 20 April - ScaleUp Malaysia (ScaleUp) melancarkan program Kohort IV dan pelaburan dalam tujuh syarikat inovatif tempatan terpilih yang merupakan pelaburan awal ketika syarikat menyertai program tersebut.

 

Syarikat yang dipilih untuk menyertai program Kohort IV ScaleUp Malaysia ialah BeeBag, Docspe, Huddle, Petotum, Stayhere dan Kabel yang akan menerima pelaburan sebanyak AS$100,000 bagi setiap syarikat, manakala syarikat ketujuh, Sonicboom akan menerima pelaburan strategik yang tidak didedahkan.

 

Rakan Pengurusan (Managing Partner) ScaleUp Malaysia, Andre Sequerah berkata, proses pemilihan sangat berdaya saing, dan pihaknya sangat teruja untuk mempunyaitujuh syarikat yang cemerlang dalam pelbagai bidang. 

 

Katanya, syarikat-syarikat ini telah dipilih berdasarkan potensi mereka untuk memacu perkembangan serantau dan memberi impak positif kepada pembangunan masyarakat dan ekonomi.

 

"Kami juga gembira untuk menambah dua lagi syarikat dengan pengasas wanita ke dalam portfolio terbaru yang menjadikan kini terdapat 14 syarikat dengan pengasas wanita telah menyertai program ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Rakan Pengurusan ScaleUp Malaysia, Tay Shan Li pula berkata, pihaknya komited untuk menyediakan syarikat kohort dengan sokongan dan sumber yang komprehensif bagi membantu mereka berkembang dan berjaya.

 

Katanya, pasukan mereka terdiri daripada mentor dan penasihat berpengalaman, akan membimbing melalui program tersebut dengan memperhalusi model perniagaan dan strategi bagi menarik pembiayaan selanjutnya serta mencatat pertumbuhan serantau.

 

"Sepanjang 3 kohort yang lalu, kami telah merangka amalan terbaik untuk bekerjasama dengan syarikat yang kami labur dan telah melihat kejayaan besar dalam membantu mereka mengembangkan perniagaan serantau dan meningkatkan pusingan perniagaan," katanya.

 

 

scaleup
                                        Andre Sequerah

 

 

Tujuh syarikat terpilih itu akan menjalani program pemecut selama 12 minggu bertujuan untuk memperhalusi model perniagaan mereka, membangunkan kebolehskalaan perkembangan serantau dan mencapai kemuncak apabila membuat persembahan pada hari demonstrasi dengan pelabur dari seluruh dunia.

 

ScaleUp Malaysia menerima lebih 200 permohonan penyertaan Kohort IV, dengan kadar kejayaan kurang daripada 4%. Agensi itu menerima permohonan syarikat dari negara-negara di seluruh rantau termasuk Hong Kong, Filipina, Vietnam, Singapura dan Indonesia, selain United Kingdom dan Amerika Syarikat.

 

 

scaleup

 

 

Syarikat terpilih terdiri daripada usaha niaga dalam IOT, Health Tech, SportsTech, Pet Care, Travel Tech, HR Tech dan Fintech.

 

Untuk maklumat lanjut mengenai ScaleUp Malaysia, sila layari laman web www.scaleup.my. Permohonan baharu dibuka sehingga akhir tahun untuk penyertaan Kohort 5. - DagangNews.com