SC, SME Corp jalin kerjasama tingkatkan akses pembiayaan pasaran modal kepada PMKS | DagangNews Skip to main content

SC, SME Corp jalin kerjasama tingkatkan akses pembiayaan pasaran modal kepada PMKS

Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin (dua, kiri) dan Rizal Nainy (dua, kanan) ketika majlis memeterai MoU mengenai pembiayaan pasaran modal untuk PKS. Turut kelihatan, Datin Azalina Adham (kiri) dan Zaky Moh (kanan).
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Sept - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama SME Corporation Malaysia untuk meningkatkan akses kepada pembiayaan pasaran modal bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

 

MoU selama tiga tahun tersebut membuka laluan kepada kerjasama bersama dalam menyediakan saluran PMKS yang bersedia menghadapi pasaran modal, serta meningkatkan kesedaran,kesediaan kemampanan dan tadbir urus korporat mereka.

 

Di bawah MoU itu, SC dan SME Corp menyasarkan untuk mewujudkan kira-kira 200 PMKS yang bersedia menghadapi pasaran modal menjelang tahun 2026, dan untuk membiasakan kira-kira 300 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan pendedahan kemampanan dan amalan terbaik tadbir urus korporat.

 

Pengerusi SC, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin berkata, MoU itu adalah langkah penting oleh pihaknya dan SME Corp ke arah menyokong pengembangan dan daya tahan PMKS, yang merupakan enjin utama pertumbuhan ekonomi.

 

"MoU ini sejajar dengan visi kami untuk memupuk pasaran modal yang rancak dan berdaya tahan serta memberi perkhidmatan bukan sahaja kepada syarikat besar, tetapi juga kepada perusahaan kecil,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Terdahulu, MoU itu ditandatangani oleh Awang Adek dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy dan disaksikan oleh Pengarah Urusan SC, Datin Azalina Adham dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaksanaan & Pembangunan) SME Corp, Zaky Moh.

 

PMKS merupakan tonggak penting dalam ekonomi, menyumbang kira-kira 38% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dan 48% daripada jumlah guna tenaga pada 2022.

 

Menurut Awang Adek, melalui perkongsian ini, mereka boleh memanfaatkan kepakaran dan sumber untuk membantu PMKS menangani cabaran, dengan memberi mereka akses yang lebih baik kepada pembiayaan dan dengan membina daya tahan mereka melalui pemahaman lebih baik serta menggabungkan amalan tadbir urus korporat dan kemampanan ke dalam perniagaan mereka.

 

Mengulas mengenai MoU itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy berkata, mereka komited untuk memastikan pasaran modal berdaya saing dan bertenaga, sambil akses oleh PMKS dikekalkan.

 

"Oleh itu, kerjasama ini membuka jalan ke arah kerancakan dan daya saing pasaran modal. Sebagai Agensi Penyelaras Pusat untuk pembangunan PMKS, SME Corp juga komited dalam memainkan peranan penting dalam menerajui agenda kemampanan untuk PMKS," katanya.

 

Di samping itu, di bawah MoU itu, SC dan SME Corp juga bersetuju untuk memulakan beberapa inisiatif pembangunan bersama bagi mengukuhkan pandangan pasaran dan analisis data mengenai akses PMKS kepada pasaran modal dan untuk mengembangkan kumpulan pembiayaan pasaran modal untuk PMKS. - DagangNews.com