Fenomena El Nino yang sangat kuat mampu naikkan harga minyak sawit mentah, PublicInvest kekalkan penarafan 'Overweight' sektor perladangan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Fenomena El Nino yang sangat kuat mampu naikkan harga minyak sawit mentah, PublicInvest kekalkan penarafan 'Overweight' sektor perladangan

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 10 Julai - Sektor perladangan dijangka terus mendapat manfaat daripada kenaikan harga minyak sawit mentah (MSM) apabila risiko berlakunya fenomena El Nino yang sangat kuat pada penghujung tahun ini semakin meningkat, sekali gus menyokong prospek pendapatan syarikat-syarikat perladangan.

 

Public Investment Bank Bhd (PublicInvest) berkata, Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan Amerika Syarikat (NOAA) kini meningkatkan kebarangkalian berlakunya fenomena El Nino yang teruk atau "sangat kuat" bagi tempoh Oktober hingga Disember 2026 kepada 81%, meningkat daripada 63% pada Jun dan hanya 33% pada Mei lalu.

 

Menurut firma penyelidikan itu, sekiranya fenomena tersebut berlaku, cuaca kering berpanjangan selama enam bulan atau lebih berpotensi mengganggu kitaran pembungaan dan penghasilan buah sawit, sekali gus mengehadkan pengeluaran minyak sawit.

 

"Secara sejarahnya, pengeluaran minyak sawit hanya terjejas apabila berlakunya fenomena El Nino yang sangat kuat, manakala kesannya terhadap hasil lazimnya lebih ketara pada tahun berikutnya kerana fenomena itu kebiasaannya bermula pada separuh kedua tahun," katanya dalam nota penyelidikan.

 

PublicInvest bagaimanapun mengekalkan unjuran harga MSM pada RM4,400 hingga RM4,450 satu tan bagi tahun kalendar 2026 dan 2027 selepas menaikkan unjuran tersebut pada Jun lalu.

 

Firma penyelidikan itu berkata, semakan naik selanjutnya terhadap unjuran harga MSM masih berpotensi dilakukan memandangkan harga komoditi itu dijangka kekal tinggi sehingga separuh kedua 2026, walaupun harga minyak mentah dan gas berkemungkinan kembali sederhana.

 

Kenaikan 10% Munasabah

Menurutnya, secara sejarah, fenomena El Nino sering menjadi pemangkin kepada kenaikan harga MSM sama ada pada separuh kedua tahun apabila fenomena itu bermula atau lebih lazimnya pada separuh pertama tahun berikutnya.

 

"Secara keseluruhannya, kami berpandangan kenaikan harga sekitar lima hingga 10% masih munasabah ketika ini memandangkan harga MSM dan isirung sawit telah pun berada pada paras tinggi sejak tercetusnya konflik di Timur Tengah," katanya.

 

Sehubungan itu, PublicInvest mengekalkan saranan 'Overweight' terhadap sektor perladangan tanpa membuat sebarang perubahan kepada unjuran pendapatan atau harga sasaran syarikat-syarikat di bawah liputannya.

 

Saham pilihan utama firma penyelidikan itu ialah IOI Corp Bhd dengan penarafan 'Outperform' dan harga sasaran RM4.65, diikuti Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) dengan harga sasaran RM25.20, United Malacca Bhd (RM7.00) dan TSH Resources Bhd (RM1.60).

 

Menurut PublicInvest, IOI Corp terus menjadi pilihan utama kerana menawarkan pulangan atas ekuiti (ROE) terbaik dalam sektor, disokong sumbangan daripada perniagaan baharu serta prestasi kukuh yang dijangka dicatatkan pada suku keempat tahun kewangan 2026.

 

KLK pula dijangka mendapat manfaat daripada kepekaan yang tinggi terhadap kenaikan harga MSM selain pengembangan perniagaan hartanah yang semakin rancak.

 

United Malacca kekal menarik berikutan profil ladangnya yang semakin matang serta penilaian yang masih kompetitif, manakala TSH Resources memberi pendedahan langsung kepada kenaikan harga MSM menerusi program peluasan tanaman baharu sebanyak 40% yang sedang dilaksanakan.

 

Dalam pada itu, PublicInvest turut mengekalkan penarafan 'Outperform' terhadap PPB Group Bhd dengan harga sasaran RM13.00, sambil menyifatkan saham syarikat itu kini berada dalam keadaan terlebih jual (oversold) dengan penilaian pada paras terendah dalam tempoh sedekad.

 

Menurut firma penyelidikan itu, PPB masih disokong oleh kedudukan kukuh dalam segmen barangan pengguna bergerak pantas (FMCG) di China, India dan Asia Tenggara, walaupun ketidaktentuan berkaitan operasi Wilmar International Limited di Indonesia masih menjadi faktor yang perlu diperhatikan.

 

PublicInvest berkata, sebahagian impak daripada kemungkinan berlakunya fenomena El Nino yang sangat kuat telah pun diambil kira menerusi andaian harga MSM yang lebih tinggi, namun pelarasan naik selanjutnya terhadap unjuran harga serta gandaan penilaian masih berpotensi sekiranya keadaan cuaca menjadi lebih ekstrem daripada jangkaan. - DagangNews.com