KUALA LUMPUR 10 Julai – Insights Analytics Berhad berada pada kedudukan strategik meraih manfaat pendigitalan infrastruktur air dan pembangunan pusat data (DC) berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Menurut TA Securities, pengkomersialan platform Digital Twin dijangka menjadi pemangkin utama pertumbuhan pendapatan syarikat meskipun kemungkinan masih berdepan kekangan tenaga kerja mahir.
Justeru, firma ini memulakan liputan ke atas syarikat berpangkalan di Sarawak itu dengan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) RM2.06 sesaham, berdasarkan kepada perkembangan projek terbaharu berkenaan.
"Prospek pendapatan Insights Analytics dijangka terus kukuh, dengan platform itu yang menawarkan margin lebih tinggi serta asas kontrak perjanjian tahap perkhidmatan (SLA) dijamin hingga FY31," tambahnya.
Ujar TA Securities, kumpulan itu dijangka mencatat keuntungan masing-masing RM53.9 juta, RM64.7 juta dan RM77.7 juta bagi FY27 hingga FY29, mewakili pertumbuhan tahunan 30.6%, 20% dan 20%.
Prestasi itu disokong unjuran pertumbuhan hasil 25% pada FY27 diikuti 20% pada FY28, selain buku tempahan belum dibilkan berjumlah RM64.5 juta serta margin keuntungan bersih purata sekitar 25%.

Digital Twin disifatkan pemangkin penarafan semula paling penting selepas Insights Analytics pemindahan platform Intelligent Asset Management Solutions (IAMS) kepada kod sumber data sendiri.
"Syarikat sudah memuktamadkan harga dua tender bandar pintar aktif di Semenanjung Malaysia, dengan projek perintis bernilai kurang RM5 juta dijangka membuka laluan tambahan," kata TA Securities.
Selain itu, kerjasama eksklusif dengan syarikat teknologi 51World membolehkan ia menawarkan sistem canggih, serta memperkukuh kedudukannya dalam pembangunan infrastruktur pintar yang dipacu data.
Sejumlah 25 kontrak SLA aktif pula memberikan keterlihatan hasil kukuh kerana setiap projek yang disiapkan Insights Analytics berpotensi ditukar kepada kontrak penyelenggaraan jangka panjang dan berulang.
Dalam segmen teknologi air ujar TA Securities, syarikat ini dilihat sebagai pilihan terbaik menawarkan pendedahan langsung kepada rumusan digital bagi mengurangkan isu kadar air tidak berhasil (NRW).
"Kedudukan ini memberi peluang tender luas daripada peruntukan RM3 bilion di bawah Program NRW Nasional, selain peningkatan permintaan air akibat pertumbuhan pesat pusat data AI," katanya.
Insights Analytics turut memiliki kedudukan tunai bersih kukuh RM29.9 juta dan hampir bebas hutang, sekali gus menyediakan ruang pembiayaan peluang perniagaan baharu. - DagangNews.com








