Cabutan bertuah jadi strategi tingkatkan jualan, usahawan diingatkan elak unsur judi - Exco Terengganu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Cabutan bertuah jadi strategi tingkatkan jualan, usahawan diingatkan elak unsur judi - Exco Terengganu

Gambar hiasan
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 10 Julai – Trend mengadakan aktiviti cabutan bertuah yang semakin banyak digunakan sebagai strategi promosi jualan oleh usahawan boleh menjadi haram sekiranya pelaksanaannya mengandungi unsur perjudian, ketidakpastian melampau, penipuan, eksploitasi pengguna atau pengambilan harta secara batil.

 

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, setiap cabutan bertuah yang diadakan dalam strategi pemasaran ketika ini memerlukan penjelasan terperinci supaya penganjur dan masyarakat Islam memahami batas hukum syarak sebelum melaksanakan sesuatu program promosi.

 

“Baru-baru ini, Mufti Negeri Terengganu, Prof. Dr. Syed Hadzrullathfi Syed Omar menyatakan hukum penyertaan dalam cabutan bertuah bergantung kepada mekanisme sebenar sesuatu program dan tidak boleh diputuskan secara umum terhadap semua bentuk cabutan bertuah.

 

“Jabatan Mufti Negeri Terengganu menegaskan sesuatu cabutan bertuah hendaklah dinilai berdasarkan struktur pelaksanaan, sumber pembiayaan hadiah, syarat penyertaan serta kesannya terhadap pengguna,” katanya.

 

Cabutan bertuah boleh dikategorikan sebagai haram sekiranya pelanggan diwajibkan membuat bayaran tambahan, membeli kupon khas atau menanggung kos tertentu sebagai syarat untuk mendapatkan peluang memenangi hadiah.

 

Keadaan tersebut berpotensi mengandungi unsur perjudian kerana peserta mengeluarkan harta bagi mendapatkan sesuatu yang tidak pasti, iaitu peluang untuk memenangi hadiah.

 

Selain itu, penganjur juga perlu mengelakkan keadaan di mana harga produk atau perkhidmatan dinaikkan secara tidak munasabah semata-mata bagi menampung kos hadiah yang ditawarkan dalam sesuatu promosi.

 

Berdasarkan penjelasan jabatan itu, sekiranya kos hadiah sebenarnya dipindahkan kepada pengguna melalui kenaikan harga atau caj tersembunyi, perkara tersebut boleh menimbulkan isu dari sudut syariah kerana melibatkan unsur mengambil harta secara batil serta eksploitasi terhadap pengguna.

 

Sejak akhir-akhir ini, semakin banyak syarikat perniagaan membuat cabutan bertuah sebagai ‘umpan’ sama ada secara fizikal mahupun menerusi platform digital bagi menarik pelanggan, meningkatkan jualan serta mewujudkan keterlibatan pengguna.

 

Pelbagai bentuk promosi kini ditawarkan oleh peniaga termasuk hadiah bernilai tinggi seperti kereta, barangan elektrik, wang tunai dan pakej percutian untuk menarik pelanggan menyertai kempen jualan tertentu.

 

t

 

Bagaimanapun, Jabatan Mufti Negeri Terengganu menegaskan tidak semua bentuk cabutan bertuah adalah dilarang kerana terdapat keadaan tertentu yang membolehkan aktiviti tersebut dilaksanakan mengikut prinsip syariah.

 

“Cabutan bertuah boleh dikategorikan sebagai harus sekiranya memenuhi beberapa syarat yang ditetapkan.

 

“Antara syarat utama ialah pelanggan tidak dikenakan sebarang bayaran tambahan khusus bagi tujuan menyertai cabutan bertuah tersebut.

 

“Selain itu, harga produk atau perkhidmatan yang ditawarkan mestilah berada pada harga sebenar pasaran dan tidak dinaikkan bagi membiayai kos hadiah yang diberikan kepada pemenang,” katanya.

 

Jabatan Mufti Negeri Terengganu turut menetapkan bahawa pembelian produk tidak boleh dilakukan semata-mata kerana pelanggan mengejar peluang memenangi hadiah, sebaliknya produk atau perkhidmatan tersebut mempunyai nilai dan manfaat sebenar kepada pengguna.

 

Hadiah yang ditawarkan juga mestilah disediakan oleh pihak penganjur daripada dana yang sah dan tidak diambil daripada wang penyertaan peserta.

 

Pada masa sama, semua terma dan syarat pertandingan perlu dinyatakan dengan jelas, telus serta adil kepada semua peserta bagi mengelakkan sebarang unsur penipuan atau ketidakpastian.

 

Jabatan Mufti Negeri Terengganu turut menegaskan bahawa penilaian hukum terhadap cabutan bertuah tidak boleh dibuat berdasarkan nama atau bentuk promosi semata-mata, sebaliknya perlu melihat bagaimana sesuatu program itu dilaksanakan.

 

Sehubungan itu, jabatan berkenaan berpandangan bahawa garis panduan khusus berkaitan pelaksanaan cabutan bertuah patuh syariah wajar disebarluaskan kepada masyarakat dan penganjur. - DagangNews.com