KUALA LUMPUR 10 Julai - Kementerian Kewangan (MOF) mendedahkan percanggahan maklumat pemegang saham syarikat tujuan khas (SPV) Cekap Urus Sdn. Bhd. merupakan antara faktor utama yang menyebabkan surat hasrat (LOI) kepada konsortium Berjaya Group dan Naza Group bagi konsesi pengurusan armada kerajaan dibatalkan.
Menurut Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang dikeluarkan pada Khamis, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan), Datuk Dr. Shahrazat Haji Ahmad berkata, dokumen tender menyenaraikan Berjaya Corporation Bhd dan Naza Corporation sebagai pemegang saham Cekap Urus.
Bagaimanapun, semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati pemegang saham sebenar yang berdaftar ketika itu ialah Berjaya Corporation Automotive Sdn. Bhd. dan Berjaya Group Bhd.
Beliau berkata, kedua-dua entiti itu adalah berbeza dan mempunyai prestasi kewangan yang tidak sama, sekali gus memberi kesan kepada penilaian tender.
Menurutnya, penilaian tender turut mengambil kira keupayaan kewangan pemegang saham yang menyokong Cekap Urus.
"Jika penilaian dibuat berdasarkan pemegang saham sebenar yang berdaftar dengan SSM, syarikat itu akan gagal kerana mempunyai aliran tunai negatif," katanya ketika prosiding PAC pada 3 November 2025.
Beliau berkata, Jabatan Peguam Negara turut berpandangan bahawa percanggahan tersebut merupakan satu kesilapan serius yang menjejaskan proses penilaian tender.
Walaupun demikian, Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) telah memberi peluang kepada konsortium berkenaan untuk memperbetulkan struktur pemegang sahamnya, yang kemudiannya dilaksanakan, lapor The Edge.
Semakan Kehakiman
Cekap Urus menerima LOI bagi konsesi pengurusan armada kerajaan pada 2019 sebelum ia dibatalkan pada 2020, beberapa bulan selepas pertukaran kerajaan yang menyaksikan Tan Sri Muhyiddin Yassin menggantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.
Kontrak tersebut kemudiannya dianugerahkan kepada Spanco Sdn. Bhd., syarikat yang dikaitkan dengan ahli perniagaan Tan Sri Robert Tan Hua Choon.
Susulan itu, Cekap Urus memfailkan semakan kehakiman terhadap kerajaan, MOF dan Spanco bagi mencabar pembatalan LOI tersebut.
Pengasas Berjaya Group, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun sebelum ini mendakwa kerajaan memilih cadangan yang menelan kos kira-kira RM700 juta lebih tinggi berbanding tawaran konsortium itu.
Kes berkenaan masih dalam prosiding mahkamah.
Rundingan Berlarutan Dua Tahun
Menurut laporan PAC, Cekap Urus kini dimiliki sebanyak 51% oleh Berjaya Corporation Bhd, 29% oleh Naza, manakala baki 20% dimiliki Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim Ismail.
Dalam prosiding sama, Shahrazat turut mendedahkan MOF berunding dengan konsortium itu selama hampir dua tahun selepas LOI dikeluarkan, namun gagal mencapai persetujuan berhubung beberapa perkara utama termasuk kos penyelenggaraan dan harga pembelian kenderaan.
Beliau berkata, rundingan gagal dimuktamadkan kerana konsortium tidak mengemukakan dokumen sokongan yang mencukupi serta tidak memberikan maklum balas terhadap beberapa permintaan kerajaan sepanjang proses rundingan.
MOF juga tidak dapat mengesahkan dakwaan bahawa cadangan konsortium mampu menjimatkan kerajaan sebanyak RM700 juta kerana tiada bukti yang menyokong tawaran harga lebih rendah tersebut.
Menurut Shahrazat, analisis kementerian mendapati perbezaan kos yang dikemukakan adalah berdasarkan perbandingan nilai kenderaan yang ditawarkan dengan nilai sebenar, namun tiada dokumen yang dapat membuktikan harga lebih rendah itu telah dipersetujui.
Selain itu, beberapa komponen di bawah kategori "kos lain-lain" turut dikemukakan pada nilai yang lebih rendah tanpa pecahan terperinci, menyebabkan kerajaan tidak dapat mengesahkan penjimatan yang didakwa.
Beliau turut menegaskan bahawa LOI bukan merupakan penganugerahan kontrak muktamad, sebaliknya hanya tertakluk kepada proses rundingan, selain mengandungi klausa yang membolehkan kerajaan menamatkannya pada bila-bila masa tanpa perlu memberikan sebarang alasan.
Rundingan Pembida Kedua Terbaik
Menjawab dakwaan bahawa kontrak itu kemudiannya diberikan kepada Spanco menerusi rundingan terus, Shahrazat menjelaskan syarikat berkenaan dipilih kerana merupakan pembida kedua terbaik dalam tender asal.
"Kerajaan akan berunding dengan pembida kedua terbaik terlebih dahulu. Jika rundingan itu gagal, barulah proses permintaan cadangan (RFP) akan dibuka semula," katanya. - DagangNews.com








