KUALA LUMPUR 2 Mei - Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) menggesa kerajaan menubuhkan satu pasukan petugas khas bagi mengatasi cabaran masa depan pekerjaan.
Pengerusinya, Datuk William Ng berkata, teknologi baharu telah mengganggu pasaran kerja secara ketara.
Katanya, walaupun kadar pengangguran berada pada tahap rendah iaitu 3.5%, ia tidak mengambil kira ketidakpadanan dalam kelayakan dan pekerjaan.
"Majikan termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sukar untuk mendapatkan pekerja yang berkelayakan dan mempunyai kemahiran yang sesuai.
"Ini memberi kesan teruk kepada pertumbuhan produktiviti dan memaksa majikan untuk menanggung kos yang tinggi untuk melatih semula pekerja," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ng, pada masa sama, para pekerja, termasuk pekerja gig mendapati diri mereka tidak bekerja secara optimum.
Katanya, EMIR Research dalam kenyataan baru-baru ini menyatakan ketidakpadanan kini sudah 'berstruktur' dan Forum Ekonomi Dunia menyatakan bahawa menjelang 2025, lebih separuh daripada semua pekerja perlu dilatih semula.

"Malah, pemenang Hadiah Nobel, Sir Christopher Pissarides turut berkata bahawa teknologi digital mengganggu pasaran buruh dan cara mereka bekerja kerana ia memerlukan kemahiran yang berbeza (dari sekarang)," katanya.
Katanya, situasi serba kalah itu mesti ditangani segera yang bukan sahaja untuk menyelesaikan isu gangguan pasaran pekerjaan, tetapi memastikan ketersediaan tenaga kerja terlatih untuk menyokong pertumbuhan industri negara.
"Selain itu, menyediakan pekerjaan bernilai tinggi yang lebih bermakna untuk rakyat dan membantu perniagaan terutamanya PKS untuk menaik taraf tenaga kerja serta keupayaan digital mereka," katanya.
Tambahnya, pendekatan separuh masak seperti yang dilihat kebelakangan ini adalah berbahaya dan regresif serta jurang jangkaan antara pihak kerajaan dan industri semakin lebar seperti dalam isu berkaitan gaji minimum, undang-undang buruh, keselamatan sosial, faedah pekerja dan sebagainya.
"Pasukan Petugas Khas Masa Depan Pekerjaan perlu ditubuhkan secepat mungkin dan merangkumi bukan sahaja agensi kerajaan berkaitan, tetapi juga industri termasuk PKS untuk menangani hal ini dan membantu negara serta rakyat mengharungi masa depan pekerjaan yang cukup berbeza," katanya. - DagangNews.com








