KUALA LUMPUR 31 Mac - Samaiden Group Berhad (Samaiden) mengumumkan pemindahan keseluruhan modal saham terbitannya dan waran tertunggak daripada Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd.
Samaiden merupakan pakar tenaga boleh diperbaharui (RE) yang terlibat terutamanya dalam kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) sistem fotovoltaik solar (PV) dan loji janakuasa.
Penyenaraian dan sebut harga bagi keseluruhan modal saham terbitan dan waran tertunggak Samaiden telah dipindahkan dari Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Securities berkuat kuasa pada 9 pagi hari ini.
Harga saham Samaiden dibuka pada 0.965 sen pada 31 Mac 2023.
Pengarah Urusan Kumpulan Samaiden, Ir. Chow Pui Hee berkata, pihaknya berterima kasih kepada pihak terlibat atas kelulusan pemindahan penyenaraianbdan memudahkan pemindahan saham dan waran tertunggak kami daripada Pasaran ACE ke Pasaran Utama.
“Pemindahan penyenaraian Samaiden ke Pasaran Utama adalah bukti kerja dilakukan oleh semua orang dalam syarikat dan hasil pertumbuhan yang telah kami saksikan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pihaknya akan memanfaatkan status penyenaraian Pasaran Utama untuk mengkukuhkan kehadiran syarikat dengan disokong rekod prestasi projek EPCC yang telah disiapkan.
Pada masa sama, tambahnya, syarikat akan dapat mencari peluang berdasarkan kepakaran tenaga boleh diperbaharui dalam sistem fotovoltaik dan loji kuasa untuk menawarkan perkhidmatan diperlukan oleh perniagaan dan organisasi menerima pakai operasi yang lebih mampan.
“Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pelabur, pelanggan dan rakan kongsi perniagaan yang telah menyokong kami sejak Samaiden ditubuhkan pada 2013 dan sejak penyenaraian kami di Pasaran ACE pada Oktober 2020,” katanya.
Berhubung dengan pemindahan penyenaraian, Pui Hee berkata, Samaiden telah memenuhi keperluan keuntungan di bawah Garis Panduan Ekuiti SC di mana ia telah mencapai keuntungan disatukan teraudit selepas cukai yang boleh diagihkan kepada pemilik syarikat sebanyak RM32.59 juta dalam tempoh empat tahun kewangan lepas dan PAT sebanyak RM11.93 juta untuk tahun kewangan terkini. - DagangNews.com








