Safee Sali, Harimau Malaya tampil dalam permainan video eFootball 2024 sempena Piala Asia | DagangNews Skip to main content

Safee Sali, Harimau Malaya tampil dalam permainan video eFootball 2024 sempena Piala Asia

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 12 Jan - Permainan video bola sepak, eFootball 2024 mengumumkan kemunculan bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali dan skuad Harimau Malaya sempena kejohanan Piala Asia ke dalam permainan keluaran Konami itu.

 

eFootball berkata, momen bersejarah itu bukan sahaja menyambut status ikonik Safee Sali dalam bola sepak Malaysia tetapi juga memperkenalkan ciri-ciri baharu dan menarik untuk meningkatkan pengalaman bermain eFootball.

 

Katanya, Safee Sali, nama yang dihormati dalam bola sepak negara secara rasmi menyertai senarai legenda bola sepak yang terdapat dalam eFootball 2024, menandakan babak baru dalam sejarah sukan maya. 

 

"Sebagai legenda bola sepak Malaysia pertama yang disertakan dalam permainan ini, permainan Safee akan dipaparkan dengan jenis kad 'EPIC' yang berbeza, menonjolkan kepentingan sumbangannya kepada bola sepak di rantau ini," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Safee berkata, melihat diri beliau dalam eFootball 2024 seperti menghidupkan semula perjalanan peribadinya, yang mana mengembalikan kenangan dan hubungan beliau melalui bola sepak. 

 

"Saya berharap peminat dan pemain eFootball ini menikmati sebahagian daripada perjalanan saya, merasai kebolehan bola sepak saya, serta menjaringkan gol-gol yang menakjubkan. Saya benar-benar bersyukur atas pengiktirafan ini, ia bermakna bagi saya," katanya.

 

Menurut kenyataan itu, selaras dengan kerjasama Konami dengan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), integrasi Piala Asia AFC 2023 Qatar, menampilkan pasukan Harimau Malaya, kini menjadi kenyataan dalam eFootball 2024. 

 

 

harimaumalaya

 

 

Katanya, rakyat Malaysia dapat menikmati bermain Piala Asia AFC dengan hero kebangsaan mereka, memberikan sentuhan autentik kepada pengalaman eFootball mereka.

 

"Satu 'Season Mode' yang inovatif dan 'Co-Op Mode' yang menarik berjaya diperkenalkan, menyediakan cara yang segar dan dinamik bagi pemain untuk menikmati eFootball," katanya.

 

 

safee

 

 

Sejajar dengan pelancaran Safee dalam eFootball 2024, kempen tempatan 'Live Your Passion' dilancarkan menerusi acara 'Live Viewing' untuk perlawanan Malaysia dalam Piala Asia AFC dan lawatan kampus, merangkumi pelbagai universiti di seluruh Malaysia, telah dimulakan. 

 

Acara itu bertujuan untuk membina komuniti dan semangat terhadap permainan, membawa bersama peminat dan pemain di bawah payung eFootball.

 

 

safee

 

 

safee

 

 

Sebagai sebahagian daripada kempen, peserta berpeluang untuk terlibat dalam pelbagai kandungan dan cabaran, dengan hadiah menarik menanti mereka. - DagangNews.com