Bola sepak ialah perjalanan hidup, kenangan zaman muda, semangat perjuangan dan harapan sebuah negara.
Zaman sekolah rendah dahulu, saya pernah mewakili sekolah dalam pertandingan bola sepak antara sekolah-sekolah daerah. Walaupun hanya bermain di padang sederhana dengan tiang gol yang kadang-kadang senget, semangat kami ketika itu sangat besar.
Kami bermain kerana cinta kepada permainan. Kami berlari tanpa mengenal penat walaupun padang becak selepas hujan. Tiada jurulatih profesional, tiada kasut mahal, jauh sekali sains sukan moden. Namun bola sepak berjaya menyatukan kami.
Mungkin kerana pengalaman itulah, hingga hari ini jiwa saya masih hidup bersama bola sepak. Saya melalui zaman mendengar keputusan perlawanan melalui radio, zaman televisyen hitam putih, dan zaman orang kampung berkumpul beramai-ramai di kedai kopi semata-mata mahu menonton Piala Dunia.
Kini dunia sudah berubah. Bola sepak menjadi industri berbilion dolar. Teknologi VAR digunakan, statistik pemain dipaparkan secara langsung, dan media sosial menjadikan pemain bola sepak seperti selebriti antarabangsa.
Tetapi di sebalik semua perubahan itu, satu perkara masih kekal: Piala Dunia tetap menjadi pentas terbesar yang menyatukan manusia dari seluruh dunia.
Saya bersyukur kerana sepanjang hidup ini saya berpeluang melihat sendiri budaya bola sepak di negara maju. Saya pernah menonton Piala Dunia di New Zealand dan Emiriah Arab Bersatu, malah ke Jerman, Amerika Syarikat, Jepun, Korea Selatan dan Afrika Selatan.
Budaya Bola Sepak Dunia
Setiap negara mempunyai budaya bola sepak yang unik. Di Jerman, bola sepak dibina dengan disiplin dan sistem yang sangat tersusun. Stadium mereka bukan sekadar tempat hiburan, tetapi lambang kebanggaan masyarakat. Penyokong hadir dengan penuh semangat, tetapi tetap berdisiplin.
Di Jepun dan Korea Selatan pula, rakyat mereka sangat menghormati permainan dan menghargai pemain. Pembangunan akar umbi dilakukan dengan serius sejak peringkat sekolah lagi. Tidak hairanlah kedua-dua negara itu kini menjadi kuasa bola sepak Asia yang dihormati dunia.
Di Amerika Syarikat, bola sepak atau soccer berkembang pesat di negara yang dahulunya lebih terkenal dengan sukan lain. Hari ini bola sepak semakin mendapat tempat dalam kalangan generasi muda mereka. Selepas Piala Dunia FIFA 2026, sukan itu akan menjadi lebih besar di sana.
Di Afrika Selatan pula, suasana yang cukup luar biasa ketika dunia memberi tumpuan kepada benua Afrika. Piala Dunia 2010 membuktikan bahawa bola sepak mampu membawa kegembiraan dan maruah kepada sesebuah negara.
Saya semakin teruja menantikan Piala Dunia 2026 yang akan dianjurkan bersama oleh Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico. Jumlah pasukan bertambah kepada 48 negara dan membuka lebih banyak peluang kepada negara-negara yang sedang membangun dalam bola sepak.
Harimau Malaya
Namun dalam hati, ada satu impian yang lebih besar daripada sekadar menonton negara-negara hebat bermain. Saya mahu melihat Malaysia sendiri berdiri di pentas Piala Dunia suatu hari nanti.
Kita pernah melalui pelbagai era Harimau Malaya. Stadium Merdeka dan Stadium Nasional penuh sesak dengan lautan penyokong memakai warna kuning hitam. Stadium bergegar dengan sorakan “Malaysia Boleh” yang membuat bulu roma berdiri.
Saya juga pernah melihat zaman kejatuhan bola sepak negara apabila prestasi semakin merosot, pengurusan dipersoalkan dan penyokong mula kecewa. Tetapi dalam beberapa tahun kebelakangan ini, saya melihat ada perubahan yang memberi sedikit sinar harapan walaupun tercalar dengan isu pemain naturalisasi tahun lepas.
FAM diharap terus serius memperbaiki struktur pembangunan bola sepak negara. Program pembangunan akar umbi mesti diberi perhatian. Akademi bola sepak semakin bertambah dan pendedahan antarabangsa kepada pemain muda juga semakin baik.
Selain itu, Liga Malaysia juga semakin profesional walaupun masih mempunyai banyak kelemahan yang perlu diperbaiki. Kemudahan latihan bertambah baik, sains sukan semakin digunakan dan pemain muda kini mempunyai lebih banyak peluang untuk berkembang.
Namun pembangunan bola sepak bukan sekadar soal membina stadium atau membawa jurulatih luar negara. Perkara paling penting ialah membina budaya bola sepak yang kuat dan konsisten.
Pemain Naturalisasi
Jepun adalah contoh terbaik. Mereka mengambil masa puluhan tahun membina sistem yang teratur. Mereka bermula dari sekolah, akademi dan liga profesional yang stabil. Hasilnya, hari ini Jepun bukan sahaja layak ke Piala Dunia secara konsisten, malah mampu menewaskan pasukan besar dunia.
Malaysia juga perlu melalui proses yang sama. Kita tidak boleh terlalu cepat mahu melihat hasil. Bola sepak moden memerlukan perancangan jangka panjang dan kesabaran.
Malaysia diharap oleh para penyokong tidak terlalu bergantung kepada pemain import yang diberikan kerakyatan semata-mata untuk mengejar kejayaan segera.
Benar, banyak negara menggunakan pendekatan naturalisasi, tetapi bagi ramai penyokong, kejayaan paling manis ialah apabila sesebuah negara berjaya dengan pemain yang benar-benar lahir daripada sistem pembangunan negara sendiri.
Rakyat mahu melihat suatu hari nanti Malaysia layak ke Piala Dunia dengan majoriti pemain tempatan yang dibentuk sejak kecil di akademi dan padang negara ini sendiri. Kejayaan seperti itu akan memberi kebanggaan yang jauh lebih besar kepada rakyat.
Atas sebab itulah saya meletakkan harapan besar terhadap Piala Dunia FIFA 2030. Walaupun mungkin agak sukar untuk Malaysia layak sepenuhnya, saya percaya Malaysia boleh mula memasuki peringkat akhir kelayakan Asia secara lebih konsisten menjelang era itu.
Jika pembangunan akar umbi diteruskan secara serius bermula sekarang, generasi pemain muda Malaysia hari ini boleh menjadi tulang belakang Harimau Malaya pada penghujung dekad ini. Kita mempunyai bakat, cuma bakat itu perlu diasah dengan sistem yang betul.
Kita juga berharap bola sepak negara bebas daripada masalah politik dalaman, perebutan kuasa dan keputusan jangka pendek. Bola sepak memerlukan kestabilan. Penyokong pula perlu bersabar dan terus menyokong pemain muda walaupun ada turun naik prestasi.
Saya mungkin melihat bola sepak dengan lebih tenang berbanding orang muda. Dulu kalau pasukan kalah, saya boleh kecewa. Kini saya lebih menghargai perjalanan dan usaha di sebalik sesuatu kemenangan.
Impian Piala Dunia 2030
Tetapi satu perkara yang tidak pernah berubah ialah impian kita melihat Malaysia bermain di Piala Dunia. Kita mahu melihat Jalur Gemilang berkibar di pentas terbesar dunia. Kita mahu mendengar lagu Negaraku dimainkan sebelum sepak mula sambil jutaan rakyat Malaysia menonton dengan penuh bangga.
Mungkin impian itu belum menjadi kenyataan hari ini. Tetapi bola sepak sentiasa penuh dengan kejutan. Negara yang dahulu kecil dalam bola sepak kini mampu berdiri sama tinggi dengan kuasa besar dunia kerana mereka percaya kepada proses pembangunan.
Kita percaya Malaysia juga mampu sampai ke tahap itu jika semua pihak benar-benar serius membina bola sepak negara dengan jujur dan konsisten.
Dan pernah berlari di padang sekolah rendah suatu ketika dahulu, saya berharap sebelum mata ini tertutup buat selama-lamanya, saya sempat melihat Harimau Malaya melangkah megah ke pentas Piala Dunia, bukan menerusi bantuan jalan pintas, tetapi hasil usaha anak-anak tempatan sendiri yang membesar dengan semangat dan cinta kepada bola sepak negara. - DagangNews.com








