KUALA LUMPUR 4 Mac - Ringgit diniagakan rendah menjelang mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini.
Pagi ini mata wang itu berada pada paras RM4.0520/0570 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), lebih rendah daripada penutupan semalam pada RM4.0490/0530.
HLIB Research menjangkakan tiada sebarang perubahan kepada pendirian monetari BNM dengan kadar dasar semalaman (OPR) dikekalkan pada 1.75%.
"Oleh itu, kami mengekalkan pandangan neutral terhadap nilai ringgit hari ini dengan diniagakan pada julat antara RM4.04 hingga RM4.07 berbanding dolar AS," katanya dalam nota kajian.
Sepanjang tahun lalu, BNM telah mengurangkan 4 kali kadar faedah sebanyak 125 mata asas kepada paras terendah setakat ini, 1.75%.
Dalam mesyuarat MPC Januari lalu, BNM mengekalkan kadar faedah tersebut. - DagangNews.com








