Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 1 Okt. - Rakyat Malaysia sudah tidak sabar untuk menggunakan perjalanan udara bagi kedua-dua destinasi domestik dan antarabangsa.
Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) berkata, hasil tinjauan yang dilakukan oleh NielsenIQ, menunjukkan peningkatan dalam jangkaan dan harapan terhadap perjalanan udara, dengan 60% dari 1,000 responden berharap dapat melakukan perjalanan dalam negeri.
Antara sebab yang dinyatakan untuk pilihan perjalanan domestik termasuk kos perjalanan yang lebih rendah, risiko pendedahan yang tinggi terhadap COVID-19 ketika melakukan perjalanan antarabangsa dan responden yang tinggal dengan ahli keluarga berisiko tinggi.
Pengerusi Eksekutif Mavcom, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata walaupun pelancong Malaysia masih berhati-hati dengan keadaan pandemik hasil tinjauan ini menunjukkan bahawa mereka telah bersedia untuk melalui perjalanan udara.
"Dengan penemuan kajian ini, Suruhanjaya berharap pemain industri akan terus berusaha untuk berwaspada dan melakukan penambahbaikan yang sewajarnya untuk menguatkan lagi keyakinan masyarakat terhadap perjalanan udara," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, tinjauan dilakukan antara Februari dan Mei 2021 yang melibatkan responden Malaysia yang telah melakukan perjalanan sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh 12 bulan sebelum tinjauan dijalankan dan bersedia melakukan perjalanan melalui udara dalam masa 12 bulan ke depan.
Katanya, hampir tiga perempat daripada responden mempertimbangkan untuk mengunjungi destinasi di Asia, dengan tiga negara teratas adalah Jepun, China dan Korea Selatan.
"Hasil tinjauan menunjukkan bahawa titik sentuh perjalanan utama di lapangan terbang perlu direka semula untuk menggabungkan kawalan orang ramai dan langkah-langkah jarak fizikal, pembersihan rutin serta kemudahan tanpa sentuhan.
"Tinjauan ini juga menekankan bahawa penerapan teknologi digital seperti dokumen perjalanan tanpa kertas dan kemudahan e-pembayaran, antara lain, adalah beberapa harapan dari pengguna," katanya.
Mavcom berkata, tinjauan itu turut mendapati bahawa penguatkuasaan SOP COVID-19 dalam mewujudkan pengalaman perjalanan akhir-ke-akhir yang selamat adalah mustahak untuk meningkatkan keyakinan penumpang. -DagangNews.com








