KUALA LUMPUR 14 April - Rakuten Trade Sdn Bhd, broker ekuiti digital pertama Malaysia, akan mengurangkan yuran broker berkuat kuasa 17 April.
Kadar minimum akan dikurangkan daripada RM 7 kepada RM1, manakala kadar maksimum kekal pada RM100.
Syarikat itu berkata kadar baharu itu akan dikenakan kepada semua pasaran yang ditawarkan olehnya yang terdiri daripada Bursa Malaysia, NYSE/NASDAQ dan Bursa Saham Hong Kong (HKEX).
Ketua Pegawai Eksekutif Rakuten Trade, Kazumasa Mise berkata struktur harga baharu itu bertujuan meningkatkan penyertaan runcit dan seterusnya mendemokrasikan pembrokeran ekuiti digital Malaysia.

"Rakuten Trade berjaya menurunkan sekatan kemasukan pada Mei 2017 dan tidak lama lagi, akan melepasi satu lagi pencapaian industri dengan mengurangkan lagi halangan perdagangan.
Dengan menjadikan pelaburan lebih berpatutan dan membuka lebih banyak peluang, pelaburan digital akan menjadi lebih mudah diakses oleh pelabur yang ingin mengembangkan kekayaan mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
"Kami telah merekodkan aliran pembukaan akaun yang stabil dengan hampir 2000 sebulan dengan strategi dagangan kekal tidak berubah sejak 12 bulan lalu dan ia menunjukkan pelabur runcit tertarik dengan kemudahan dan kebolehcapaian platform dagangan dalam talian," tambahnya.
Di samping itu, Rakuten Trade akan menyemak semula struktur program ganjarannya sebagai tindak balas kepada pelancaran dagangannya baru-baru ini di Bursa Saham Hong Kong.

Ekosistem ganjarannya yang telah memenangi pelbagai anugerah akan memberikan pelabur 1 RT untuk setiap RM1 yang dibelanjakan untuk yuran broker, menyediakan pelabur cara yang lebih pantas untuk memperoleh rebat percuma pembrokeran berbanding sebelum ini.
Mise berkata pelabur runcit menjadi semakin penting kepada banyak broker dan ketidakpastian ekonomi tidak menghalang pelabur runcit daripada membuat langkah untuk mengambil peluang.
Sehingga 31 Mac 2023, Rakuten Trade telah mengaktifkan lebih 260,000 akaun dan mempunyai aset pelanggan di bawah pentadbiran melebihi RM3.7 bilion.
Ia mengendalikan hampir RM115 bilion dalam jumlah nilai dagangan sejak pertama kali beroperasi pada Mei 2017.
Menurut Mise, syarikat itu akan memperkenalkan dagangan saham berperingkat untuk saham-saham Amerika Syarikat bagi menyokong keperluan pelabur runcit menjelang akhir bulan ini.
Maklumat lanjut berkenaan yuran broker boleh didapati di laman web Rakuten Trade. -DagangNews.com








