KUALA LUMPUR 5 Mei - Festival muzik tersohor di seluruh dunia, Rainforest World Music Festival yang akan berlangsung pada 23 hingga 25 Jun 2023 di Kampung Budaya Sarawak, Kuching menyasarkan kehadiran seramai 20,000 pengunjung,
Penganjur dalam kenyataan memaklumkan, festival tersebut menerima sambutan menggalakkan di seluruh dunia dengan tiket 'early birds' habis dijual pada 29 April 2022.
Menurutnya, peminat festival kini boleh membeli tiket 'pre-sale' pada platform tiket Klook dengan harga lebih rendah, berbanding harga 'door sale' di lokasi festival berlangsung.
Katanya, RWMF edisi ke-26 tahun ini akan menampilkan sejumlah 199 pemuzik dari 12 negara dalam suasana hutan hujan di kaki Gunung Santubong.
"Kumpulan antarabangsa RWMF akan menampilkan pelbagai genre muzik, termasuk pemenang Anugerah Grammy, Gipsy Kings bersama Tonino Baliardo dari Perancis dengan lagu-lagu popular seperti 'Djobi Djoba' dan 'Bamboleo' untuk menarik minat pengunjung dengan muzik orientasi pop mereka, yang jauh berbeza dari genre flamenco dan rumba tradisional.
"Artis antarabangsa lain yang turut memeriahkan RWMF termasuk Big Mountain dari Jamaica dan Amerika Syarikat yang terkenal dengan lagu hit mereka ‘Baby I Love Your Way’, Safi Theatre dari Tanzania, Rastak dari Iran, Fasylive dari Maldives, Afriquoi dari United Kingdom, Chatusram dari India, Rizal Hadi & Folk dari Indonesia dan Ethno Thai Fusion Sound Band dari Thailand.
"Senarai artis juga termasuk artis dari Jepun, Hong Kong dan Singapura," katanya.

Penganjur berkata, RWMF2023 juga akan menonjolkan bakat-bakat tempatan Malaysia dari Timur dan Barat, antaranya Zee Avi, Suk Binie, Aseana Percussion Unit, Nadir, Steve Thornton & Afroasia, Sada Borneo, Tuku Kame, Nading Rhapsody, Geng Wak Long, Buloh Bekocak, At Adau, Meruked, dan Orang Orang Drum Theatre.
Bertemakan ‘Reflections’, RWMF 2023 menawarkan peluang kepada pengunjung festival untuk tidak hanya terlibat dengan muzik dunia dan tradisi kebudayaan, tetapi juga untuk mendalami tema dan nilai-nilai yang terkandung di dalamnya.
"Ini juga adalah peluang untuk merenung dan memahami hubungan dengan alam semesta dan menikmati pelbagai gaya muzik untuk memahami dan menghargai dunia yang lebih mendalam," katanya.
Tiket 'pre-sale' kini tersedia di platform tiket Klook dalam beberapa kategori, antaranya Pas 1 Hari Dewasa Jumaat/Ahad bernilai RM230, Pas 1 Hari Dewasa Sabtu (RM260), Pas 2 Hari Dewasa Jumaat + Sabtu/Sabtu + Ahad (RM440), Pas 3 Hari Dewasa (RM590), dan Pas 1 Hari Kanak-Kanak Jumaat/Sabtu/Ahad (RM80) untuk tawaran tempoh terhad.
Dalam pada itu, pengunjung festival juga mendapat manfaat kemudahan perjalanan ke lokasi acara melalui perkhidmatan bas shuttle dari bandaraya Kuching ke Kampung Budaya Sarawak (SCV) pada setiap jam dari 9 pagi hingga 8 malam.
Dari SCV ke Kuching City pada setiap jam dari 12.30 tengah hari hingga 5.30 petang serta berterusan dari 9 malam hingga 1 pagi, berdasarkan perjalanan berjadual. - DagangNews.com








