PTDI menang kontrak bina enam pesawat pengangkut untuk Filipina  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PTDI menang kontrak bina enam pesawat pengangkut untuk Filipina 

Salah sebuah daripada dua pesawat NC212i yang telah dimiliki Filipina.
Oleh ZAKI SALLEH 

KUALA LUMPUR 15 April - Filipina memeterai perjanjian untuk membeli enam buah pesawat pengangkut ringan taktikal NC212i buatan firma PT Dirgantara Indonesia (PTDI) bagi kegunaan tentera udaranya.

 

Kelebihan pesawat yang boleh berlepas dan mendarat di landasan pendek serta permukaan yang tidak rata ini sangat sesuai dengan kehendak operasi tentera negara itu.

 

Majlis menandatangani perjanjian pada Khamis lalu di Jabatan Pertahanan Filipina, Quezon City ini termasuk pembelian alat ganti.

 

Selain kontrak perolehan pesawat, PTDI juga memperolehi kontrak penyelenggaraan untuk dua buah pesawat sama yang dibeli Filipina pada 2018.

 

Kedua-dua pesawat tersebut akan diterbangkan ke PTDI Bandung, Indonesia dijangka akhir bulan ini untuk melaksanakan penyelenggaraan.

 

Tentera Udara Filipina (PAF) sebelum ini telah merancang untuk mendapatkan tambahan pesawat NC212i bagi menggandakan keupayaan mobiliti udara jarak dekat.

 

Sejak empat tahun lalu, rundingan telah diadakan pada peringkat antara kerajaan dengan kerajaan yang menunjukkan komitmen kedua-dua pihak untuk merealisasikan perolehan tersebut.

 

 

PTDI
Wakil PTDI dan Jabatan Pertahanan Filipina semasa menandatangani kontrak perolehan pesawat NC212i di Manila.

 

 

Bajet bagi pembelian sebanyak AS$11.4 juta ini diluluskan kerajaan Filipina pada 17 Februari lalu.

 

Perolehan terbaharu ini mengukuhkan lagi kerjasama Indonesia dan Filipina dalam industri pertahanan yang bukan sekadar cakap-cakap atau dilakar di atas kertas rundingan.

 

Filipina sebelum ini menjadi pengguna pada dua buah kapal sokongan logistik (LPD) kelas Tarlac buatan Indonesia oleh firma PT PAL Indonesia.

 

 

ptdi
Pengurusan PTDI ingin meletakkan syarikat itu dalam senarai 50 industri pertahanan global pada tahun 2024.

 

 

Berpuas hati dengan aset tersebut, pada Jun tahun lalu, Jabatan Pertahanan Filipina menandatangani kontrak dengan PT PAL Indonesia untuk membina dua buah kapal sama.

 

Ini bermakna tentera laut Filipina akan mempunyai empat buah kapal LPD seberat 7,200 tan yang boleh melakukan operasi atau pelayaran sehingga 30 hari sebelum ulang bekal.

 

PTDI yang dahulunya dikenali sebagai Industri Pesawat Terbang Nusantara diasaskan pada tahun 1976 bagi meneroka bidang pembinaan pesawat udara bermula kecil sebelum menjadi pendahulu di rantau ini.

 

 

ptdi
Tentera Indonesia mempunyai 30 buah pesawat NC212i yang digunakan untuk pelbagai tugasan.

 

 

Ia merupakan syarikat milikan kerajaan atau dipanggil sebagai Badan Usaha Milik Negara (BUMN).

 

Sehingga kini, ia telah membina dan memasang lebih 460 buah pesawat pelbagai jenis termasuk helikopter dan berjaya menembusi pasaran global. 

 

Antaranya Korea Selatan, Turki, Emiriah Arab Bersatu, Vietnam, Senegal dan Malaysia.

 

Program menaik taraf tiga pesawat CN235 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebagai pesawat rondaan maritim misalnya telah dilakukan oleh PTDI.

 

Bagi pesawat NC212i, asalnya PTDI mengeluarkan pesawat jenis NC212-200 secara berlesen dari CASA, Sepanyol.

 

Sebanyak 103 buah NC212-200 versi awam dan tentera telah dihasilkan oleh PTDI.

 

Antara tahun 2004-2008, fasiliti untuk pembinaan pesawat tersebut telah dipindahkan ke Bandung dari San Pablo, Sepanyol lantas menjadikan PTDI sebagai pengeluar tunggal keluarga NC212. 

 

Sejak 2014, PTDI tidak lagi mengeluarkan NC212-200 dan NC212-400, sebaliknya telah menaik taraf pesawat itu kepada versi NC212i yang lebih maju.

 

Program pembinaan versi ini dilakukan menerusi kerjasama PTDI dengan firma Airbus.

 

Ia disifatkan sebagai pesawat yang sangat baik dalam kelasnya untuk diperanankan bagi pelbagai tugasan sama ada membawa anggota tentera, kargo, tinjauan sempadan atau operasi mencari menyelamat.

 

Dua negara serantau iaitu Vietnam dan Thailand juga menjadi pengguna NC212i apabila masing-masing membeli tiga dan buah pesawat ini.

 

Tentera Indonesia sendiri memiliki 30 buah pesawat ini termasuk enam buah yang digunakan tentera lautnya sebagai pesawat rondaan maritim.

 

Melihat pada prestasi PTDI, tidak hairanlah apabila pihak pengurusannya telah meletakkan sasaran untuk syarikat berkenaan menjadi antara 50 industri pertahanan global pada 2024.

 

Berbeza di sini, ada pihak industri pertahanan kita yang gemar membuat kenyataan terbuka untuk menyasarkan kontrak besar sehingga ratusan juta sedangkan pencapaian sebenar tidak ke mana. - DagangNews.com