Prospek pertumbuhan Bermaz Auto didorong permintaan dan program pemasangan tempatan, kata CGS-CIMB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prospek pertumbuhan Bermaz Auto didorong permintaan dan program pemasangan tempatan, kata CGS-CIMB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 8 Mac - CSG-CIMB yakin dengan prospek pertumbuhan Bermaz Auto Bhd dari tahun 2023 hingga 2024, didorong oleh permintaan berdaya tahan dan tiga program pemasangan tempatan (CKD) baharu di kala SST yang akan tamat tempoh pada tahun ini.

 

Firma itu mengunjurkan separuh kedua tahun kewangan 2023 (2HFY23) yang kukuh berdasarkan pesanan tertunggak yang tinggi dan isu kekurangan komponen dan bahagian kereta yang kian mereda.

 

Di dalam nota hari ini, firma tersebut percaya Bermaz Auto dapat mencapai sasaran volum jualan sebanyak 19,000 unit bagi tahun kewangan 2023 (FY23) daripada tiga jenama – Mazda, Peugeot dan Kia – yang membayangkan prestasi kukuh 11% separuh ke separuh (hoh) dalam 2HFY23 berbanding 9,059 unit terjual pada separuh pertama tahun kewangan 2023 (1HFY23).

 

Ini adalah berikutan tunggakan pesanan yang sihat berjumlah kira-kira 7,000 unit pada akhir Februari 2023 dan firma tersebut dimaklumkan oleh pengurusan bahawa kebanyakan pesanan tertunggak itu datang selepas tamat tempoh cuti cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada 1 Julai 2022 , manakala baki kira-kira 1,000 pesanan di bawah pakej Penjana akan dihantar sebelum 31 Mac 2023.

 

“Tawaran rebat SST 50% daripada kumpulan tersebut untuk pesanan antara 22 Julai hingga akhir 22 Disember membantu mereka mengekalkan tempahan baharu.

 

Walaupun dengan subsidi ini, kami jangka kumpulan itu mengekalkan margin keuntungan bersih yang sihat pada FY23 memandangkan forex yang menggalakkan daripada susut nilai yen berbanding ringgit serta kos pengiklanan dan promosi yang lebih rendah,” ujar firma itu.

 

Di samping itu, program CKD baharu dilihat mampu memacu pertumbuhan volum, di mana kumpulan tersebut akan dapat manfaat daripada potensi pasaran eksport model CKD.

 

CKD Mazda CX-30 dilancarkan pada 8 Mac 2023 dan ia akan memacu volum baharu memandangkan ia merupakan model ketiga popular jenama tersebut di Malaysia, menyumbang 11% daripada volum jualan pada 1HFY23.

 

Menurut firma tersebut, kumpulan itu juga dalam perbincangan dengan rakan kongsi Jepunnya untuk pemasangan tempatan yang keempat.

 

Selain itu, kumpulan itu juga memberi tumpuan kepada SUV lain seperti CKD Kia Sorento pertama telah diperkenalkan oleh kumpulan itu pada 3 Mac 2023 dan ia merancang untuk memperkenalkan model SUV kedua, Kia Sportage menjelang akhir tahun ini.

 

 Oleh itu, CGS-CIMB kekalkan saranan ‘tambah’ dengan meningkatkan harga sasaran (TP) pada RM3.10. -DagangNews.com