Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 9 Dis - AmInvestment Bank mengekalkan panggilan 'BELI'dengan nilai saksama (FV) yang lebih tinggi sebanyak RM5.25/saham untuk Scientex Bhd berdasarkan penilaian jumlah bahagian (SOP).
Bank pelaburan itu berkata, ia adalah untuk mencerminkan pertumbuhan pendapatan bahagian yang lebih tinggi iaitu kira-kira 12% setiap tahun pada FY22–24 berbanding purata wajaran kira-kira 10% setiap tahun bagi rakan setara globalnya.
Menurutnya, walaupun keuntungan bersih 1QFY22 Scientex sebanyak RM102.9 juta adalah 11% lebih tinggi tahun ke tahun (yoy), ia hanya membentuk 21% dan 20% daripada anggaran tahun penuh AmInvestment dan konsensus.
"Walau bagaimanapun, kami menganggap keputusan dalam jangkaan, disokong sebahagian besarnya oleh keputusan 4Q yang lebih kukuh mengikut musim dalam segmen hartanah," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.
Pendapatan pengeluar pembungkusan global dan pemaju hartanah itu turut meningkat 15.7% kepada RM928.2 juta dalam tempoh tersebut daripada RM802.3 juta dipacu permintaan kukuh menerusi pembungkusan produk dan jualan rumah mampu milik.
Bahagian pembungkusan kekal penyumbang utama pendapatan sebanyak RM678.1 juta, berkembang 16.2% daripada RM583.8 juta, berikutan jualan kukuh daripada pembungkusan produk pelanggan dan perindustrian dalam pasaran domestik dan eksport.
Sementara itu, bahagian hartanah pula merekodkan pendapatan sebanyak RM250.1 juta, meningkat 14.5% daripada RM218.4 juta didorong pembayaran yang stabil menerusi projek-projek yang sedang berjalan dan kadar pengambilan yang baik dalam pelancaran baharu hartanah di Johor dan Pulau Pinang.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lim Peng Jin berkata, prestasi kukuh itu mencerminkan model perniagaan teras kumpulan menerusi pembangunan hartanah dan pembungkusan.
"Kami terus menyukai Scientex kerana prospek kukuh industri pembungkusan disebabkan oleh perbelanjaan pengguna, peralihan kepada makanan dan minuman semasa dalam perjalanan kerana gaya hidup yang sibuk dan standard keselamatan makanan yang lebih tinggi.
"Selain itu perniagaan pembangunan hartanah Kumpulan yang teguh walaupun pasaran lemah secara amnya berkat tumpuan yang tepat pada unit kediaman mampu milik yang kebanyakannya mendarat di pinggir bandar sekunder juga menjadi pemangkin kepada prestasi Scientex," kata AmInvestment Bank -DagangNews.com








