Projek solar Malakof dijangka tidak beri sumbangan signifikan kepada pendapatan kumpulan | DagangNews Skip to main content

Projek solar Malakof dijangka tidak beri sumbangan signifikan kepada pendapatan kumpulan

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
nabila@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 Okt. - Projek solar Malakoff dijangka tidak memberikan sumbangan penting bagi pendapatan kumpulan susulan saiznya yang kecil.

 

AmInvestment Bank berkata, pada masa ini, Malakoff memfokuskan pada projek solar dan pengurusan sisa buangan bagi segmen tenaga boleh diperbaharui. 

 

Katanya, Malakoff merancang untuk mencapai kapasiti tenaga boleh diperbaharui 1,000MW menjelang tahun kewangan 2025 berbanding 36MW pada masa ini.

 

"Sasaran kumpulan ini adalah untuk meningkatkan kapasiti sebanyak 250MW setiap tahun. Kami tidak menjangkakan sumbangan pendapatan yang signifikan dari projek bumbung solar ini kerana ia projek berskala kecil.

 

"Sebilangan besar projek solar ini dijangka selesai pada tahun kewangan 2022," katanya dalam nota kajiannya di sini hari ini.

 

Dalam perkembangan lain, AmInvestment Bank mengunjurkan keuntungan bersih Alam Flora meningkat lebih 20% kepada RM110 juta bagi tahun kewangan 2021 disokong oleh jumlah sisa buangan yang semakin meningkat.

 

"Alam Flora dijangka menyumbang 34.6% daripada keuntungan bersih tahun kewangan ini kepada Malakoff sebanyak RM317.5 juta," katanya.

 

Alam Flora dijangka memulakan pembinaan kompleks pemulihan eko bersepadu yang menelan belanja sebanyak RM40 juta di Klang pada akhir tahun ini dan dijangka mengambil masa 1.5 hingga 2 tahun untuk siap.

 

"Setelah siap, kilang ini akan merawat sisa industri dan sisa komersil seperti dari pelabuhan dan kapal. Ini akan memperluas hak konsesi Alam Flora yang kini menyumbang kira-kira 20% kepada pendapatan dan keuntungan kumpulan," katanya. - DagangNews.com