PMI pembuatan Malaysia meningkat 48.4 pada Mac, bukti permintaan lebih baik dalam sektor itu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PMI pembuatan Malaysia meningkat 48.4 pada Mac, bukti permintaan lebih baik dalam sektor itu

KUALA LUMPUR 3 April - Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan Malaysia yang diselaraskan secara pelarasan bermusim meningkat kepada 48.8 pada Mac 2023 berbanding 48.4 pada Februari 2023. 

 

Menurut syarikat maklumat kewangan dan analisis, S&P Global, dalam satu kenyataan berkata, perkembangan itu menunjukkan permintaan yang lebih baik dalam sektor pembuatan.

 

Tambahnya, bacaan terkini menunjukkan keadaan perniagaan adalah perlahan tetapi tidak begitu ketara sejak September lepas.

 

“Bacaan PMI terkini itu turut selaras dengan pengembangan yang teguh dalam pengeluaran pembuatan dan keluaran dalam negara kasar, dengan isyarat bahawa pertumbuhan telah meningkat sejak awal tahun ini,” katanya.

 

Ahli Ekonomi S&P Global Market Intelligence, Usamah Bhatti berkata, walaupun pengambilan pesanan baharu terus sederhana, penurunan itu adalah paling perlahan direkodkan sejak Oktober lepas dan sederhana berikutan sebilangan syarikat dapat meraih jumlah pesanan baharu yang lebih besar.

 

Bagaimanapun, tambahnya, jumlah pengeluaran terus dikurangkan, menandakan sektor tersebut masih mempunyai beberapa pendekatan sebelum permintaan pulih sepenuhnya.

 

Usamah turut berpandangan bahawa syarikat-syarikat akan didorong oleh penurunan selanjutnya bagi inflasi harga input.

 

“Tekanan inflasi masih tidak melebihi apa yang dilihat pada separuh kedua 2022, dengan bacaan terkini indeks pelarasan secara bermusim masing-masing berada pada paras terendah sejak Mei 2020.

 

“Tekanan kos yang lebih perlahan bererti kurangnya tekanan aliran meningkat pada harga jualan, yang secara umumnya tidak berubah pada sepanjang bulan,” katanya.

 

Menurut S&P Global, pengilang Malaysia masih berharap agar keadaan permintaan akan kembali seperti biasa dalam masa 12 bulan akan datang seperti yang ditunjukkan dari segi keyakinan berhubung pengeluaran pada masa depan untuk tempoh 21 bulan berturut-turut.

 

Katanya, walaupun tahap keyakinan berkurangan kepada paras terendah dalam masa tiga bulan, situasi tersebut terus kukuh secara keseluruhannya dan melebihi purata. - DagangNews.com