KUALA LUMPUR 15 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merafak sembah ucapan tahniah kepada Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin sempena pemasyhuran sebagai Pro-Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang baharu.
Ismail Sabri menerusi catatan di Facebook rasminya turut mendoakan pemasyhuran tersebut membuka lembaran baharu buat UiTM dan menjadi institusi pengajian tertinggi terunggul negara.
"Merafak sembah dan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin sempena atas pemasyhuran sebagai Pro-Canselor UiTM.
"Patik doakan agar pemasyhuran ini akan membuka lembaran baharu buat UiTM dan menjadi institusi pengajian tertinggi terunggul negara," katanya.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga Canselor UiTM berkenan mewasalkan pemasyhuran Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin sebagai Pro-Canselor UiTM yang baharu.
Pemasyhuran Tengku Permaisuri Norashikin sebagai Pro-Canselor UiTM yang baharu bagi tempoh 18 Okt 2021 hingga 17 Okt 2024 diadakan sempena Istiadat Konvokesyen UiTM ke-93 di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM, semalam. - DagangNews.com








