PLUS sasar 100 stesen pengecas kenderaan elektrik di lebuh raya menjelang 2024 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PLUS sasar 100 stesen pengecas kenderaan elektrik di lebuh raya menjelang 2024

KUALA LUMPUR 22 Julai - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menyasarkan sebanyak 100 stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) di kawasan strategik di sepanjang lebuh raya yang dikendalikannya menjelang 2024. 

 

Perkara itu didedahkan oleh Pengarah Urusan syarikat konsesi lebuh raya itu, Datuk Azman Ismail baru-baru ini.

 

“Kami bekerjasama dengan rakan strategik seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan objektif untuk menyediakan kemudahan dan perkhidmatan yang diperlukan kepada pengguna EV di lebuh raya kami. 

 

"Di bawah pelan hala tuju PLUS EV Charging Stations, kami akan memudahkan pemain industri untuk menyediakan 100 stesen pengecas secara kumulatif menjelang 2024,” kata Azman.

 

Menurut Azman, kira-kira 29 stesen pengecas EV telah disediakan di kawasan rehat dan perkhidmatan (RSA) serta stesen minyak Caltex dan Shell di sepanjang lebuh raya PLUS. 

 

Sementara itu, Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) berkata, terdapat kira-kira 600 stesen pengecas EV awam di negara ini ketika ini.

 

Pada Mac tahun ini, TNB mengumumkan bahawa ia akan bekerjasama dengan PLUS dalam beberapa inisiatif kemampanan. 

 

Ini termasuk penyediaan pengecas pantas EV di RSA berpotensi tinggi terpilih di Lebuhraya Utara-Selatan (NSE) serta di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2).

 

Spesifik rangkaian pengecasan pantas DC tidak didedahkan pada masa itu, tetapi dokumen yang dilihat oleh penerbitan ini mendedahkan terdapat sejumlah lapan stesen pengecasan pantas diperkenalkan di kedua-dua lebuh raya (enam di NSE dan dua di LPT2), merentasi enam negeri, lapor The Edge.

 

Memorandum persefahaman yang dimeterai antara kedua-dua pihak juga akan menyaksikan pemasangan sistem solar fotovoltaik di atas bumbung bangunan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh (arah utara) dan R&R Tapah (arah utara) dengan jumlah kapasiti melebihi 360 kWp. - DagangNews.com