KUALA LUMPUR 3 April - PLS Plantations Bhd telah memeterai Perjanjian Perkongsian Strategik dengan COFCO Food Import Co. Ltd (COFCO), pemproses, pengilang dan peniaga makanan terbesar di China.
Dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini, kerjasama antara pemain terkemuka industri agromakanan Malaysia tersebut dengan COFCO adalah untuk membangunkan dan melaksanakan inisiatif keselamatan makanan di bawah inisiatif One Belt, One Road (OBOR).
PLS Plantations dan COFCO akan bertukar maklumat dan pengetahuan mengenai inisiatif keselamatan makanan; bekerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan keselamatan makanan; bersama-sama melabur dan melaksanakan projek keselamatan makanan; perkongsian sumber, teknologi dan kepakaran; serta menjalankan latihan bersama dan aktiviti pembinaan kapasiti berkaitan inisiatif keselamatan makanan.
Skop perjanjian ini termasuk tetapi tidak terhad kepada pembangunan pertanian, rizab makanan, keselamatan makanan, pembasmian kemiskinan, pengeluaran makanan, import makanan dan penetapan harga makanan.
Pengerusi PLS Plantations, Tan Sri Nazir Razak berkata, "Memandangkan kami menyedari kepentingan keselamatan makanan, kami percaya penting untuk bekerjasama dengan beberapa pemain terkemuka dalam industri bagi memajukan inovasi dan skala ekonomi yang akan mengukuhkan keselamatan makanan negara."
Menurut beliau, gabungan kepakaran kumpulan dalam pengeluaran makanan bersama sumber dan pengalaman meluas COFCO dalam segmen hiliran, PLS Plantations menyasarkan untuk mewujudkan ekosistem makanan mampan, cekap dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar untuk masa hadapan.
“Kami akan mencari penyelesaian dan teknologi yang inovatif untuk menangani cabaran kritikal seperti perubahan iklim, peningkatan kos baja dan permintaan yang semakin meningkat untuk makanan, “tambahnya.
Sementara itu, Pengurus Besar Import Makanan COFCO, Wu Yiran berkata keutamaan utama pihaknya adalah menangani keselamatan makanan China dan kerjasama dengan PLS Plantations menawarkan peluang menangani cabaran bersama-sama.
“Perkongsian ini menangani kebimbangan keselamatan makanan domestik dan memupuk pertumbuhan dan pembangunan bersama untuk China dan Malaysia, di samping kami bekerja secara kolektif ke arah mencapai kecukupan diri dalam pengeluaran makanan.
Tambahnya, COFCO bercita-cita mencipta model kerjasama antarabangsa yang menunjukkan matlamat bersama dan usaha kolaboratif berkesan mengurangkan kebimbangan keselamatan makanan global dan memberi manfaat kepada semua pihak terlibat. -DagangNews.com








