KUALA LUMPUR 28 Jan - Kerajaan Sarawak menunjukkan kesungguhan untuk mengubah sumber gas asli negeri itu menjadi manfaat untuk Sarawak, bukannya hanya mengeksportnya ke negara lain.
Premiernya, Tan Sri Abang Johari Tun Openg merujuk kepada perasmian loji metanol Sarawak Petchem di Tanjung Kidurong, Bintulu, serta penghantaran pertama sebanyak 20,000 tan metrik metanol ke China pada 14 Januari 2025.
Katanya, projek tersebut adalah langkah pertama dalam perjalanan negeri untuk memanfaatkan lebih banyak gas sebagai bahan mentah untuk menghasilkan produk lain serta menjana kuasa bagi merancakkan ekonomi Sarawak.
"Setiap kapal LNG yang meninggalkan Bintulu ke negara lain tanpa diproses lebih lanjut di dalam negara, mewakili peluang yang hilang untuk Sarawak mendapat manfaat daripada pembangunan rantaian nilai sektor hiliran gasnya," katanya dalam ucapan khas sempena Tahun Baharu Cina.
Beliau menyatakan keyakinan, sumber gas Sarawak boleh menjadi industri hiliran utama untuk mengubah ekonomi negeri dalam tempoh lima tahun akan datang, dengan matlamat untuk meningkatkan pendapatan isi rumah Sarawak agar setara dengan atau melebihi purata negara.
"Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah membuktikan bahawa ia menepati janji untuk memastikan Sarawak dapat menikmati lebih banyak manfaat daripada gasnya, bukannya hanya mengeksportnya ke luar negara.
"Dengan siapnya loji pertama ini, kami telah membuktikan bahawa kami boleh melakukannya seperti syarikat-syarikat besar yang lain," tambahnya.
Abang Johari turut menyebut inisiatif lain, termasuk pecah tanah untuk loji metanol hijau di Tanjung Kidurong dan loji jana kuasa kitaran gabungan 500 MW bernilai RM2 bilion di Miri, yang kedua-duanya diterajui oleh Petroleum Sarawak Berhad (PETROS).
Projek-projek itu akan menggunakan gas sebagai bahan mentah bagi industri dan menjana kuasa untuk pasaran tempatan dan serantau, sekali gus mempelbagaikan ekonomi Sarawak.
Pada masa yang sama, Abang Johari berkata, Peta Jalan Gas Sarawak akan meluaskan manfaat tersebut ke luar Bintulu, dengan rancangan untuk menyalurkan gas ke terminal di pelabuhan laut dalam yang dicadangkan di Tanjung Embang, Kuching.
"Walaupun gas kita telah dieksport ke negara lain selama 40 tahun yang lalu, ia masih belum terlambat bagi kita untuk memanfaatkan lebih banyak gas untuk membangunkan industri gas domestik kita supaya Sarawak dapat menikmati lebih banyak produk dan perkhidmatan bernilai tambah," ujarnya. - DagangNews.com








