RHB Research ramal harga sawit RM4,250 setiap tan pada 2026, susut berbanding RM4,306 pada 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RHB Research ramal harga sawit RM4,250 setiap tan pada 2026, susut berbanding RM4,306 pada 2025

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 9 JanRHB Research mengekalkan penarafan 'neutral' terhadap sektor perladangan, dengan jangkaan harga minyak sawit mentah (MSM) sepanjang tahun ini yang mungkin lebih rendah.


Bagaimanapun, firma tersebut memberi amaran, harga komoditi berkenaan adalah kekal tidak menentu susulan faktor geopolitik dan perubahan dasar global yang akan memberi kesan ke atas permintaan.


Sehubungan itu, ia menjangkakan harga MSM secara purata pada 2026 adalah sedikit susut berbanding tahun sebelumnya, didorong oleh dinamik bekalan dan permintaan global yang diramal tidak stabil.


"Harga MSM pada 2025 direkodkan sekitar RM4,306 satu tan metrik, manakala anggaran kami bagi 2026 dan 2027 masing-masing kekal pada RM4,250 dan RM4,100 satu tan metrik," kata nota RHB Research.


Jelasnya, berdasarkan perkembangan semasa, bagi saham pilihan, ia mengesyorkan Johor Plantations, Sarawak Oil Palms, IOI Corporation dan London Sumatra Indonesia sebagai nilai pelaburan.


Sementara SD Guthrie dan First Resources pula diklasifikasikan firma penyelidikan tersebut sebagai saham situasi, dengan menyenaraikan empat faktor utama bakal mempengaruhi pergerakan harga MSM.


Antaranya, fenomena La Niña berlaku sejak pertengahan Disember 2025, walaupun dalam skala lemah, serta pelaksanaan mandat biodiesel B50 di Indonesia yang dijangka bermula separuh kedua 2026.


"Pelaksanaan penuh B50 dalam jangka sederhana berpotensi meningkatkan penggunaan MSM di Indonesia sehingga 18 juta tan setahun, atau peningkatan 30% tahun ke tahun (YoY)," tambah RHB Research.


Namun katanya, ia memerlukan kenaikan levi minyak ditapis bagi menampung kos subsidi, dan memberi amaran risiko penurunan akibat kemungkinan lebihan bekalan kacang soya Amerika Syarikat (AS).


Jika perjanjian pembelian oleh China tidak dipenuhi sepenuhnya, selain ketidaktentuan pelaksanaan dasar biofuel AS menekan harga minyak kacang soya, ia seterusnya menjejaskan daya saing MSM.


Secara keseluruhan, RHB Research berpandangan situasi pada tahun ini bakal menjadi tempoh yang lebih stabil dari segi asas pasaran, tetapi ketidaktentuan harga MSM pula dijangka berterusan.


"Kami menilai keadaan ini adalah sejajar dengan perkembangan geopolitik dan dasar global yang kemungkinan boleh berubah tanpa dijangka lebih awal," katanya. - DagangNews.com