Pusat Peranginan Bukit Larut dibuka semula setelah 5 tahun ditutup | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pusat Peranginan Bukit Larut dibuka semula setelah 5 tahun ditutup

Pembukaan semula Bukit Larut dapat merancakkan pelancongan di Taiping.
Oleh Zaki Salleh

TAIPING 5 Feb - Pusat Peranginan Bukit Larut di sini akan dibuka semula kepada orang ramai setelah ditutup sejak November 2019 susulan kejadian tanah runtuh di kawasan terbabit.

 

Ia boleh dikunjungi bermula 1 April ini dengan beberapa pembaharuan operasi yang dilakukan oleh Majlis Perbandaran Taiping (MPT).

 

Bagaimana pun, aktiviti perkhemahan akan dibenarkan bermula 17 Februari ini di kawasan yang ditetapkan.

 

 

Semua pengunjung yang ingin memasuki Bukit Larut perlu mengimbas kod QR yang disediakan ketika masuk dan keluar dari kawasan pusat peranginan itu.

 

Yang Dipertua MPT, Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, pembukaan semula Bukit Larut sejajar dengan persediaan untuk menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) nanti.

 

Perak

 

Menurut beliau, pihaknya akan membuka semula 3 banglo di Bukit Larut iaitu Beringin, Angkasa dan Tempinis untuk pengunjung bermalam pada kadar antara RM500 hingga RM1,000 sebuah.

 

“Kadar sewaan bilik di banglo ini pula antara RM150 hingga RM500 semalam.

 

“Jadi, pengunjung boleh menyewa keseluruhan banglo atau menyewa bilik yang terdapat di dalam banglo-banglo tersebut.

 

“Operasi sewa kenderaan jeep untuk naik ke atas juga akan dibuka kembali, namun hanya untuk mereka yang menyewa penginapan banglo,” ujarnya dalam satu kenyataan.

 

Perak
Kejadian tanah runtuh pada November 2019 menyebabkan Bukit Larut ditutup kepada pengunjung.

 

Perak
Pemandangan sebahagian Taiping dari atas Bukit Larut.

 

Sejak ditutup hanya aktiviti riadah dan pendakian (hiking) boleh dilakukan di Bukit Larut tetapi atas risiko dan tanggungjawab pengunjung.

 

Sepanjang tempoh itu juga kerja-kerja pembaikan jalan dan cerun di kawasan yang terlibat dengan kejadian tanah runtuh dilakukan Jabatan Kerja Raya secara berperingkat-peringkat.

 

Sebelum ini kerajaan negeri Perak memaklumkan sebanyak RM20 juta dibelanjakan bagi kos membaiki cerun di Bukit Larut.

 

Jelas Khairul Amir, pembukaan semula Pusat Peranginan Bukit Larut diyakini dapat merancakkan kembali pelancongan di Taiping menjelang TMM 2026.

 

Perak

 

“Selain Zoo Taiping dan Night Safari, Taman Tasik Taiping dan lain-lain produk pelancongan di Taiping, Bukit Larut sebelum ini cukup terkenal dengan keindahan alam semulajadinya. 

 

“Sehubungan itu, MPT tidak mahu ketinggalan dalam usaha menaikan sektor pelancongan di Malaysia khususnya pelancongan bandar Taiping,” ujarnya. - DagangNews.com