Projek lima empangan baharu di Sarawak tarik minat luar biasa syarikat tempatan antarabangsa | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Projek lima empangan baharu di Sarawak tarik minat luar biasa syarikat tempatan antarabangsa

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 16 Feb -- Permintaan cadangan (RFP) yang dibuka oleh Sarawak Energy Bhd (SEB) bagi pembinaan lima empangan hidro baharu di Sarawak mendapat sambutan menggalakkan apabila sesi taklimat pada 30 Januari lalu menarik kehadiran ramai syarikat tempatan dan antarabangsa.

 

Difahamkan, kira-kira 100 peserta hadir secara fizikal manakala lebih ramai menyertai secara dalam talian, mencerminkan minat tinggi terhadap projek yang dikenali sebagai Cascading Power Sources (CPS) itu. 

 

Antara syarikat tempatan yang dilaporkan menunjukkan minat termasuk Gamuda Bhd dan Press Metal Aluminium Holdings Bhd, selain penyertaan beberapa syarikat utama dari Jepun, China dan Korea Selatan.

 

Taklimat tersebut diadakan susulan RFP yang dikeluarkan oleh Sarawak Energy Bhd pada 17 Januari bagi pembangunan lima empangan di lembangan Tutoh, Belaga, Danum, Balui dan Gaat, yang terletak di bahagian tengah serta utara Sarawak dan sebahagiannya bersempadan dengan Kalimantan.

 

Bagaimanapun, garis masa projek disifatkan agak suntuk apabila tarikh tutup pendaftaran ditetapkan pada hujung Februari manakala tarikh akhir penyerahan cadangan pada hujung Ogos, memberi tempoh kira-kira enam bulan kepada pembida. 

 

Sasaran operasi komersial awal ditetapkan sekitar 2034 hingga 2035.

 

Setakat ini, belum dapat dipastikan sama ada kelima-lima empangan itu akan dianugerahkan kepada satu konsortium atau diagihkan secara berasingan kepada beberapa pihak.

 

Menurut dokumen terma rujukan di laman web SEB, pembangunan CPS bertujuan mengoptimumkan potensi hidro yang belum diteroka melalui pendekatan berangkai dalam satu lembangan sungai. 

 

 

Kaedah ini membolehkan penjanaan tenaga dimaksimumkan daripada aliran sungai yang sama, sekali gus meningkatkan kecekapan sistem dan kapasiti tenaga boleh diperbaharui.

 

Dari segi kapasiti, Gaat CPS diunjurkan menjana antara 50 megawatt (MW) hingga 70MW, manakala Balui CPS berpotensi menghasilkan antara 700MW hingga 800MW. 

 

Nilai keseluruhan projek bagaimanapun belum didedahkan.

 

Syarikat atau konsortium yang berjaya dikehendaki membangunkan model kewangan terperinci berasaskan metodologi aliran tunai terdiskaun (DCF) bagi menilai daya maju projek. 

 

Model tersebut perlu merangkumi unjuran penjanaan tenaga, jualan elektrik, perbelanjaan modal dan operasi, variasi hidrologi, struktur pembiayaan, andaian tarif, percukaian serta insentif berkaitan.

 

Penilaian cadangan turut mengambil kira rekod prestasi peserta dalam pembangunan projek hidro atau projek berangkai berskala dan berkompleksiti setara, termasuk pengalaman dalam kajian kebolehlaksanaan, reka bentuk, pembinaan dan operasi.

 

Calon yang disenarai pendek perlu memeterai perjanjian pembangunan bersama dengan anak syarikat milik penuh SEB iaitu SEB Power Sdn Bhd, selepas menandatangani perjanjian kajian bersama dan perjanjian pembelian tenaga (PPA). 

 

 

T

 

 

PPA itu akan dilaksanakan oleh Syarikat SESCO Bhd yang diberi mandat bagi penjanaan, penghantaran dan pengagihan elektrik di negeri berkenaan.

 

Menurut terma rujukan, perjanjian pembangunan bersama itu bukan usaha sama rasmi tetapi menyediakan rangka kerja mengikat meliputi skop kerjasama, mekanisme perkongsian kos, agihan risiko dan penyelesaian pertikaian bagi memacu projek ke arah keputusan pelaburan muktamad.

 

Pembangunan CPS merupakan sebahagian daripada sasaran Sarawak untuk mencapai kapasiti penjanaan terpasang 15 gigawatt (GW) menjelang 2035, sejajar komitmen memenuhi pertumbuhan permintaan domestik serta memposisikan negeri itu sebagai pengeksport tenaga bersih ke pasaran serantau, termasuk menerusi inisiatif Grid Kuasa ASEAN.

 

SEB ketika ini mengendalikan tiga loji hidro utama iaitu Bakun (2,520MW), Murum (944MW) dan Batang Ai (94MW), manakala Projek Hidroelektrik Baleh berkapasiti 1,285MW dijangka siap menjelang penghujung dekad ini. 

 

Syarikat itu juga memiliki Loji Janakuasa Kitaran Gabungan Tanjung Kidurong berkapasiti 842MW.

 

Sejak 2016, SEB mengeksport kira-kira 200MW tenaga elektrik ke utiliti Indonesia, Perusahaan Listrik Negara, dan sedang meninjau potensi eksport ke Sabah serta Brunei.

 

Pada Oktober tahun lalu, projek Penyambungan Grid Kuasa Sarawak–Singapura menerima kelulusan bersyarat daripada Energy Market Authority (EMA), sekali gus mengesahkan daya maju teknikal dan komersial awal projek berkenaan.

 

 Sarawak menyasarkan eksport 1GW tenaga boleh diperbaharui ke Singapura menjelang 2032 selepas siapnya pembinaan kabel dasar laut.

 

Premier Sarawak, Abang Johari Tun Openg, sebelum ini dilaporkan berkata pembinaan kabel tersebut akan dilaksanakan oleh konsortium kewangan melibatkan kepentingan Malaysia dan Singapura.

 

Dari sudut kewangan, sehingga akhir Disember 2024, SEB merekodkan jumlah aset sebanyak RM43.47 bilion dengan liabiliti berjumlah RM49.05 bilion. 

 

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, syarikat mencatat keuntungan selepas cukai RM1.34 bilion dengan hasil RM7.3 bilion, hampir setara dengan prestasi FY2023 yang merekodkan keuntungan selepas cukai RM1.34 bilion daripada hasil RM7.15 bilion. 

 

Keuntungan terkumpul pada akhir 2024 berjumlah RM14.74 bilion.

 

Pengguna elektrik terbesar SEB ialah Sarawak Corridor of Renewable Energy (SCORE) yang ditubuhkan pada 2008 bagi menarik pelaburan berintensif tenaga. 

 

Keperluan elektrik di bawah fasa awal pembangunan meningkat daripada 880MW pada 2013 kepada 2,550MW menjelang 2020 dan dijangka berkembang 45 peratus kepada 3,700MW menjelang 2025. - DagangNews.com