Petronas buka bidaan dua kelompok medan minyak di luar pesisir Sabah pada MBR 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Petronas buka bidaan dua kelompok medan minyak di luar pesisir Sabah pada MBR 2025

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 23 Jan - Dua medan minyak di luar pesisir Sabah dijangka menjadi dua kelompok peluang sumber yang ditemui (DRO) yang akan dibuka untuk bidaan dalam Malaysia Bid Round 2025 (MBR 2025) anjuran Petroliam Nasional Bhd (Petronas).

 

Petronas, melalui Malaysia Petroleum Management (MPM), dijadualkan untuk melancarkan MBR tahun ini pada 17 Februari 2025.

 

Menurut Petronas, rundingan bidaan yang akan datang menawarkan peluang besar kepada pelabur untuk meneroka potensi minyak dan gas hulu Malaysia.

 

 

"Kelompok Mutiara DRO merangkumi medan Nymphe, Nymphe North, Kuda Terbang, Mutiara Hitam dan Benrinnes di luar pesisir Sabah. 

 

"Manakala, Kelompok Permata termasuk medan South East Collins, Lokan, Realgar, Axinit, dan Manikam di luar pesisir Sabah," kata Petronas dalam satu kenyataan di laman webnya.

 

petronas

 

Tambahnya, kelompok lain yang turut dibuka untuk bidaan adalah Temaris di luar pesisir Semenanjung Malaysia, merangkumi medan Mengkuang dan Tembakau.

 

"Tarikh tutup untuk penghantaran bidaan bagi kelompok Mutiara dan Temaris adalah pada 13 Mac 2025, manakala tarikh tutup bagi Kelompok Permata adalah pada 16 Jun. 

 

"Ketiga-tiga bidaan tersebut adalah untuk kontrak perkongsian pengeluaran aset medan kecil (PSC)," jelasnya.

 

Tahun lalu, di bawah MRB 2024, Petronas menawarkan lima blok penerokaan dan lima kelompok DRO kepada pelabur berpotensi.

 

Lima blok penerokaan tersebut terletak di lembangan yang baharu muncul iaitu Lembangan Langkasuka di Selat Melaka, serta Lembangan Semporna dan Sandakan di pesisir timur Sabah.

 

Selain itu, tiga kelompok DRO yang ditawarkan pada 2024 terletak di perairan cetek Semenanjung Malaysia dan Sabah, manakala dua kelompok DRO terletak di kawasan perairan dalam Sabah.

 

Petronas telah melancarkan myPROdata, platform pintar yang menawarkan akses eksklusif kepada data dan maklumat terperinci, membolehkan pelabur membuat keputusan yang lebih tepat.

 

Undangan bidaan MBR, garis panduan bidaan dan syarat kelayakan syarikat akan boleh diakses melalui myPROdata Petronas pada 17 Februari 2025. - DagangNews.com