Pertikaian hak pengedaran gas di Sarawak memberi lebih 'keuntungan' kepada Petronas, kata CreditSights | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pertikaian hak pengedaran gas di Sarawak memberi lebih 'keuntungan' kepada Petronas, kata CreditSights

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 7 Feb - Pertikaian Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dengan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) mengenai hak pengedaran gas di negeri itu membawa kepada hasil yang lebih "menguntungkan" kepada syarikat gas dan minyak itu, kata CreditSights, cabang penyelidikan Fitch.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kehilangan hak pengedaran gas di Sarawak mungkin akan mengurangkan pendapatan Petronas sebanyak 11%, iaitu bukan dilihat sebagai "akibat luar biasa", memandangkan negeri itu telah berjuang untuk mengawal perniagaan itu sepenuhnya.

 

Berikutan perbincangan antara Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Petronas mengiktirafkan Petros sebagai pengedar gas tunggal, di negeri itu kecuali gas asli cecair (LNG), yang kekal di bawah kawalan Petronas.

 

 

Tambahan pula, Petronas dan anak syarikatnya tidak perlu mendapatkan lesen tambahan bagi menjalankan operasi di Sarawak, dan semua kontrak luar yang berkaitan dengan aktiviti petroleum yang ditandatangani oleh Petronas akan dikekalkan.

 

CreditSights mengekalkan saranan "market perform" ke atas Petronas, dengan mengutamakan bon jangka masa pendek syarikat yang akan matang sebelum 2032.

 

Firma itu berkata, jika dibandingkan dengan Pertamina, bon Petronas didagangkan dalam julat nilai saksama berbanding rakan sejawatannya di Indonesia.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Petronas laksanakan `rightsizing' bukan disebabkan perjanjian dengan kerajaan Sarawak

 

Sementara itu, perbezaan bon dolar antara Petronas dan Pertamina telah mengecil sejak Ogos 2024. 

 

"Terdapat beberapa skop bon bertarikh pendek Petronas yang boleh diketatkan.

 

"Pada asasnya, keuntungan operasi dan kedudukan tunai bersih Petronas adalah lebih tinggi daripada Pertamina, manakala prestasi kewangannya juga dilihat lebih teratur dan telus," katnya.

 

Walau bagaimanapun, CreditSights berkata, terdapat beberapa risiko yang bakal menjejaskan prospek Petronas. 

 

"Negeri lain mungkin mendapatkan kawalan lebih besar ke atas sumber minyak dan gas, yang boleh melemahkan penguasaan Petronas. 

 

"Selain itu, Sarawak mungkin berusaha untuk mendapatkan lebih banyak hak di luar pengedaran gas, seperti pengeluaran LNG huluan dan jualan minyak. 

 

"Akhirnya, ketidaktentuan kawal selia Petronas bakal memperlahankan pelaburan dan pertumbuhan industri," katanya. - DagangNews.com