Penganjuran RXZ Members 8.0 pada 31 Julai 2026 di Terengganu tawar hadiah hampir RM500,000 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penganjuran RXZ Members 8.0 pada 31 Julai 2026 di Terengganu tawar hadiah hampir RM500,000

Mohamad Faizal bersama hadiah utama, Mercedes Benz CLA Class yang bakal dimenangi pengunjung bertuah pada RXZ Members 8.0 di Terengganu
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA TERENGGANU 27 Jan –Penganjuran perhimpunan permotoran RXZ Members 8.0 yang dijadualkan berlangsung pada 31 Julai hingga 1 Ogos depan menawarkan hadiah keseluruhan hampir RM500,000 yang bakal menarik kedatangan lebih 100,000 peminat motosikal itu dari seluruh negara.

 

Antara hadiah utama yang bakal menjadi rebutan peserta termasuk sebuah Mercedes-Benz CLA bernilai RM250,000, pakej umrah, dua motosikal Yamaha RXZ, helmet, jaket selain pelbagai hadiah aksesori motor dan barangan yang lain.

 

Penganjur program Mohamad Faizal Mat Ali berkata skala penganjuran RXZ Members edisi ke-8 kali ini adalah lebih besar berbanding tahun-tahun sebelumnya, selari dengan sambutan luar biasa daripada komuniti RXZ serta peminat permotoran klasik dan moden.

 

 

 

 

 

 

 

“Sebaik sahaja tarikh rasmi acara diumumkan di media sosial, sambutan yang diterima amat menggalakkan sehingga permintaan terhadap inap desa (homestay) meningkat secara mendadak dalam tempoh singkat.

 

“Situasi itu menyebabkan kebanyakan homestay di daerah Kuala Terengganu dilaporkan telah penuh, termasuk di kawasan sekitar lokasi acara Kuala Nerus, menunjukkan impak ekonomi positif kepada sektor pelancongan dan perniagaan berasaskan perkhidmatan,” katanya ketika dihubungi DagangNews.com.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Penganjuran RXZ Members 7.0 jana kira-kira RM50 juta pulangan ekonomi kepada Terengganu

 

t

 

Bagaimanapun, beliau turut menasihatkan orang ramai, khususnya ahli RXZ Members dan pengunjung luar, supaya lebih berhati-hati dalam urusan mencari penginapan susulan kemunculan sindiket penipuan atau scammer yang mengambil kesempatan atas permintaan tinggi.

 

“Ada individu tidak bertanggungjawab yang menawarkan homestay palsu di media sosial dengan meminta bayaran pendahuluan tanpa pengesahan jelas,” katanya.

 

Sehubungan itu, peserta disaran agar berurusan hanya dengan pemilik penginapan yang sah atau platform tempahan berdaftar, selain memastikan bukti tempahan, alamat sebenar dan identiti pemilik diperoleh sebelum membuat sebarang bayaran.

 

Dalam pada itu, RXZ Members 8.0 dijangka mencatat kehadiran lebih besar berbanding edisi terdahulu, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara perhimpunan RXZ terbesar di Malaysia.

 

Mohamad Faizal berkata acara ini bukan sahaja menjadi medan pertemuan peminat RXZ dari seluruh negara, malah turut berfungsi sebagai platform mengeratkan silaturahim, perkongsian pengetahuan teknikal serta pameran motosikal RXZ yang unik.

 

 

 

 

 

 

“Selain cabutan bertuah dan hadiah lumayan, pelbagai aktiviti sampingan turut dirancang bagi memastikan pengalaman pengunjung lebih menyeluruh dan bermakna.

 

“Kami berharap semua peserta dapat merancang perjalanan serta penginapan lebih awal, di samping sentiasa berwaspada agar kemeriahan RXZ Members 8.0 dapat dinikmati dengan selamat dan lancar,” katanya. - DagangNews.com