KUALA LUMPUR 5 Feb – Projek LRT Shah Alam yang dinanti-nantikan pelbagai pihak dijangka memulakan operasi selewat-lewatnya pada bulan Jun 2026, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Ketika menyatakan tarikh jangkaan yang diberikan oleh pemilik aset, Prasarana Malaysia Bhd, Loke juga tidak menolak kemungkinan laluan tersebut sedia beroperasi lebih awal iaitu April.
Beliau menjelaskan kelewatan daripada sasaran asal Oktober tahun lalu adalah bagi memastikan keselamatan penumpang melalui ujian yang teliti, termasuk tahap paling kritikal Fault-Free Run (FFR), di mana setiap tren perlu bergerak sekurang-kurangnya 4,000km tanpa gangguan teknikal.
“Semasa ujian pada November dan Disember, kami menghadapi isu perisian dan sistem isyarat. Setiap kali berlaku gangguan, ujian perlu dimulakan semula dari sifar,” katanya ketika menjadi tetamu sebuah radio hari ini.
Menurut beliau, kumpulan pertama daripada lebih 20 tren laluan ini telah melepasi FFR, manakala kumpulan seterusnya masih menjalani ujian. Setelah ujian akhir selesai, kementerian akan memulakan operasi secara rasmi.
LRT Shah Alam sepanjang 37.8km menghubungkan Bandar Utama di Petaling Jaya ke Johan Setia di Klang, dan dijangka memberi perkhidmatan kepada dua juta penduduk di koridor barat Lembah Klang.
Projek ini bermula pada 2016 namun berdepan beberapa kelewatan akibat penstrukturan semula pakej kerja dan pandemik COVID-19.
Tarikh siap sebelum ini telah ditunda daripada 2020 ke Mac 2025, manakala sasaran Oktober 2025 terlepas akibat cabaran teknikal.
Dengan perkembangan terkini, pihak kerajaan optimis LRT Shah Alam bakal menjadi nadi pengangkutan penting bagi kawasan barat Lembah Klang menjelang pertengahan tahun ini. - DagangNews.com








